NILAI, 19 Feb 2017 – Kolej Permata Insan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memenangi Innovate Award di Vex Robotics Competition 2017 yang berlangsung selama dua hari bermula 18 hingga Februari 2017 bertempat di Dewan Tuanku Canselor USIM.

Mereka adalah terdiri dari Pasukan A iaitu seramai 10 ahli kumpulan yang diketuai Abdul Razzak Khan Rustum Ali Khan, dan ahli lain Muhammad Harraz Iman Mazlan, Muhammad Haziq Bahtiar, Muhammad Fa’iq Firdaus Abdullah, Faisal Abdul Rahman, Ahmad Amirul Azri Rohandi, Muhammad Taqiuddin Mazlan, Ahmad Haziq Mohamed Sabri, Zahir Hariz Zahanis dan Muhammad Shukhairi Misbah.

Menurut Dr. Faszly Rahim selaku Mentor, Permata Insan telah menghantar dua pasukan dan mereka hanya mendapat peluang selama 16 jam sahaja bagi merekabentuk dan membina robot-robot serta menulis program untuk automasi robot semasa sesi latihan di Robotics Learning Sdn. Bhd. di Bangsar Village II. Setelah robot direkabentuk dan disiapkan, mereka mempunyai hanya 10 hari untuk menguji robot dan menyelesaikan masalah dan kerosakan teknikal yang dihadapi.

“Ini adalah kali pertama mereka membuktikan keupayaan insan Pintar dan Berbakat (GTi) dalam menginspirasikan dan menterjemah rekabentuk daripada alam untuk diaplikasikan ke atas robot yang perlu menyelesaikan masalah dalam tempoh yang agak singkat”.

“Pasukan ini juga telah mengintegrasikan dalil-dalil     Naqli     dan Aqli dalam menginovasikan rekabentuk robot mereka. Rekabentuk tersebut telah diinspirasikan daripada Ayat 27 dan 28 Surah Fatir tentang kepelbagaian makhluk ciptaan Allah serta ayat 36 Surah Al An`am yang menuntut manusia untuk memerhatikan makhluk-makhluk yang melata serta     burung-burung terbang yang sebenarnya menjalani corak kehidupan yang mirip umat manusia. Mereka telah     mengambil rekabentuk kumbang rusa (Stag Beetle) jantan    yang     bertarung bagi inspirasi rekabentuk bahagian sepit robot. Fungsi rekabentuk tersebut adalah untuk memegang bintang bercabang enam dan bantal kiub yang perlu dilempar dan ditolak melepas pagar ke gelanggang lawan dalam cabaran VEX Startruck Challenge”, tambah Dr. Faszly.

Dr. Faszly turut berharap peluang dan pengalaman ini akan mematangkan mereka untuk meneruskan minat dalam bidang penyelidikan bagi merekabentuk dan memprogram kefungsian robot bagi membantu manusia menyelesaikan banyak masalah pada masa hadapan. Selain dapat menyertai banyak lagi pertandingan STEM bertaraf antarabangsa serta seminar dan kongres yang berskala dunia.

Pertandingan ini melibatkan lebih daripada 30 pasukan daripada sekolah rendah dan menengah seluruh Malaysia. Penganjuran ini turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Selaras dengan visi dan matlamat KPM untuk memastikan lebih ramai pelajar berkecimpung dan memupuk minat mereka dalam bidang STEM.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz yang juga merangkap Pro-Canselor USIM. Turut hadir sama Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz selaku penaung, dan Naib Canselor USIM Prof Dato Dr Musa Ahmad.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204