NILAI, 22 Mac 2017- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memainkan peranan secara aktif dalam gerak kerja penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) semenjak diumumkan secara rasmi penubuhannya dalam kenyataan bersama Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.
Selepas kenyataan tersebut dikeluarkan, USIM mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan satu pasukan khas diperingkat Universiti yang diketuai oleh Naib Canselor dan dianggotai oleh Timbalan-timbalan Naib Canselor USIM dan ahli akademik pakar dari pelbagai fakulti serta pegawai.
Diperingkat Kerajaan Malaysia, USIM terlibat secara langsung dalam Jawatankuasa Khas Penubuhan KSCIP yang dipengerusikan YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Haji Dusuki bersama pihak Kementerian Pertahanan dan Malaysian Institute of Defence and Security (MIDAS).
Melalui platform Jawatankuasa Khas Penubuhan KSCIP ini, USIM telah terlibat dalam siri mesyuarat bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Haji Dusuki di Parlimen. Selain itu, beberapa siri perbincangan bersama MIDAS turut diadakan bertempat di Kementerian Pertahanan dan USIM untuk melihat aspek pengisian, operasi, infrastruktur dan pentadbiran KSCIP.
Dipihak USIM, sumbangan yang telah diberikan dalam penubuhan KSCIP ini memfokuskan kepada memanfaatkan kepakaran ahli akademiknya dalam bidang pengajian Islam, undang-undang antarabangsa, kaunseling dan keselamatan sekuriti yang merentas pelbagai fakulti. Sebagai Universiti yang dikenali dalam bidang pengintegrasian ilmu Naqi dan Aqli, keunikan ini kita terapkan bersama dalam setiap bidang kepakaran yang kita tawarkan supaya hasilnya nanti memberi impak yang lebih relevan dan signifikan.
Ini memandangkan dalam usaha untuk membanteras dan menangani ancaman keamanan sejagat akibat dari penyebaran dakyah dan ideologi keganasan oleh golongan ekstremis dan kumpulan pengganas di seluruh dunia yang semakin kompleks, satu pendekatan yang mempunyai elemen Naqli dan Aqli amat sesuai kita usahakan dan terokai secara mendalam. Justeru itu, selain mempunyai kemampuan kepakaran dalaman, ini juga membuka peluang kepada USIM untuk memanfaatkan hubungan baik dengan rakan strategik dan pakar dalam dan luar negara yang kita ada untuk dilibatkan secara kolektif dan optimum dalam KSCIP ini.
YB Menteri Pertahanan dalam satu kenyataan baru-baru ini turut memaklumkan bahawa USIM akan turut dijemput untuk menyertai perbincangan bersama wakil Kementerian Pertahanan dan Liga Arab Sedunia dalam pertemuan dengan wakil Kerajaan Arab Saudi yang berkunjung ke Malaysia pada 10 April ini bagi membincangkan secara lanjut penubuhan KSCIP ini.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena lawatan empat hari Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia pada 28 Februari hingga 1 Mac lepas, USIM dipertanggungjawabkan bersama-sama Kementerian Pertahanan kedua-dua negara dan Muslim World League (Liga Arab Sedunia) bagi menubuhkan KSCIP. USIM bersama pihak-pihak berkepentingan ini akan merealisasikan penubuhan dan pelancaran KSCIP dalam tempoh tiga bulan seperti yang dinyatakan.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204