NILAI, 16 April 2017 – “Mendapat motivasi dan suntikan semangat baharu untuk menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada September nanti” ujar Abang Putera Mohd Azwa.
Begitulah perasaan sama yang turut yang dikongsi oleh rakan-rakannya lain yang merupakan murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Bongek (SKB), Rembau Negeri Sembilan selepas mengikuti program Mentor Mentee di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selama dua hari pada 15 dan 16 April 2017 baru-baru ini.
“Program selama dua hari ini yang disertai 19 murid SKB bersama 14 orang pendidik adalah anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling SKB dan Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Kampung Bongek dengan kerjasama Kelab Debat USIM” ulas Mohd Zaini Othman, tenaga pengajar Kokurikulum Debat Bahasa Melayu USIM.
Tambahnya lagi “Program ini berbentuk pemindahan ilmu dari USIM yang melibatkan pensyarah dan mahasiswanya kepada guru-guru dan murid-murid SKB melalui pelbagai program yang diatur. Program khimaf komuniti seperti ini sememangnya mendapat sokongan padu Pengurusan Universiti”.
Menurut Puan Hamidah Othman, Guru Besar SKB menyatakan Program Mentor Mentee ini dilaksanakan untuk membantu dan membimbing murid-murid SKB sebagai mentee untuk mengesan potensi dan menanam keyakinan diri bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam UPSR 2017.
Selain itu ia juga mewujudkan perhubungan mesra diantara murid-murid, guru dan warga USIM selain melahirkan murid-murid yang mempunyai sahsiah yang terpuji dan berkeyakinan.
Sepanjang dua hari di USIM, murid-murid ini diberi pendedahan kemahiran pengucapan awam oleh pelajar Debat Bahasa Melayu, aktiviti eksperimen sains dikendalikan Pusat Tamhidi dan perkongsian ilmu falak dan cerapan bintang malam bersama Kelab Astronomi Fiqh (Astrofiqh).
Selain itu mereka turut mengikuti latihan dalam kumpulan, sukaneka dan motivasi kecemerlangan bersama Dr Abdul Manan Ismail, Pengarah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah USIM pada hari terakhir program.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204