United Kingdom, 4 Mei 2017 – Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), YBhg Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, 66, menerima Pingat Gilbert 2017 sempena majlis makan malam gala di University of Nottingham, United Kingdom.

Sejarah tercipta apabila beliau menjadi penerima sulung dari Asia yang diberi penghormatan menerima penganugerahan tertinggi daripada Universitas 21 yang mana pengumuman secara rasmi telah dikeluarkan oleh Universitas 21 tahun lalu melalui laman sesawang mereka.

Menurut Pengerusi Universitas 21, Profesor Sir David Eastwood, penghormatan tinggi ini diberikan kepada Profesor Tan Sri Dzulkifli atas kepimpinan ulung dan pengalaman luas beliau dalam dunia akademik serta pentadbiran pengajian tinggi di peringkat Malaysia dan luar negara.

“Beliau merupakan peneraju kepada konsep “the humaniversity” untuk diterapkan di universiti selain memberi komitmen kepada kemampanan pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan membangunkan dimensi awam yang baik dan jelas berkaitan senario pendidikan tinggi global. Kami amat berbesar hati dan gembira memberi penghormatan atas jasa beliau dengan Pingat Gilbert 2017 ini,” ujar Profesor Sir David Eastwood.

Profesor Tan Sri Dzulkifli berbesar hati menerima penghargaan ini dan menganggap ia merupakan kejayaan untuk semua pihak yang telah bersama-samanya bekerja dengan penuh berani dan kolektif untuk melihat pendidikan tinggi adalah lestari untuk semua pihak.

Nama Pingat Gilbert ini diambil sempena menghargai sumbangan salah seorang pengasas penubuhan Universitas 21 iaitu Profesor Alan Gilbert. Sehingga kini, hanya tujuh individu seluruh dunia yang memberi sumbangan besar kepada perkembangan pendidikan tinggi dunia dipilih sebagai penerimanya termasuk Profesor Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak.

Universitas 21 adalah satu rangkaian 25 universiti ternama yang berasaskan penyelidikan di seluruh dunia dengan penubuhannya bermula di Melbourne, Australia pada 1997. Ia membina jalinan yang erat untuk menggalakkan kerjasama dan keserakanan dikalangan ahlinya untuk mengantarabangsa pendidikan tinggi serta menjadikan university masing-masing sebagai universiti global.

Di peringkat antarabangsa, beliau kini merupakan Presiden International Association of Universities yang berpangkalan di Paris, Perancis selain merupakan ahli World Academy of Art and Sciences (FWAAS) serta pernah berkhidmat sebagai ahli Panel Penasihat Pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai Dasar Dadah dan Pengurusan sejak 1995; dan Jawatankuasa Saintifik WHO Peraturan Produk Tembakau (2004-2006).

Manakala diperingkat negara antaranya Felo Akademi Sains Malaysia (FASc), Malaysian Institute of Malaysia (FMIM) dan Majlis Inovasi Negara.

Nilai keilmuan yang dimilikinya kerap beliau kongsikan dengan masyarakat melalui penulisan di media yang menyentuh pelbagai isu penting berkaitan pendidikan, sains dan peristiwa semasa antaranya beliau merupakan kolumnis akhbar New Straits Times sejak tahun 1995 lagi dan terkini akhbar The Sun.

 

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204