KUALA PILAH, 1 Februari 2018 – Satu karnival kesihatan yang telah diadakan di Dewan Dato’ Bahaman Samsudin Kuala Pilah bertemakan Sihat dan Seimbang dijalankan lanjutan daripada hasil kajian setempat yang dijalankan oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Kajian tersebut mendapati bahawa lebih kurang 37% daripada responden kajian di kalangan penduduk di Kuala Pilah menghidap penyakit darah tinggi dan juga lebih kurang 20% menghidap penyakit kencing manis.

Karnival disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj. Hasan.

Pengarah Program Karnival Kesihatan Sihat dan Seimbang, Prof. Madya Dr. Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, antara aktiviti yang dijalankan pada karnival ini ialah program saringan kesihatan bagi pengesanan awal penyakit darah tinggi, kencing manis, barah pangkal rahim dan barah payu dara, pemeriksaan pergigian, perkhidmatan KlipMobile iaitu perkhidmatan pakar mata bergerak USIM di samping aktiviti-aktiviti promosi dan pendidikan kesihatan termasuk demonstrasi CPR, perundingan kesihatan serta perundingan kesihatan oral.

Program ini diadakan dengan kerjasama Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Pilah, YB. Dato’ Norhayati Omar. Program-program kesihatan ini mensasarkan responden kajian di DUN Pilah selain daripada golongan asnaf di Kuala Pilah dan kawasan sekitarnya. Karnival ini mendapat sambutan menggalakkan dari penduduk sekitar Kuala Pilah dimana dianggarkan lebih kurang 1000 orang yang hadir.

Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah Ahli Parlimen Kuala Pilah, YB. Dato’ Seri Hasan Malek, Ahli Dewan Undangan Kuala Pilah, YB. Dato’ Norhayati Omar, Ahli Dewan Undangan Senaling, YB. Dato’ Haji Ismail Lasim serta Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, YBhg. Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Disediakan oleh :
Amizul Aziz
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Bangunan Canselori
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204