NILAI, 3 April 2018 – Sekumpulan siswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berbakat dan kreatif dalam penghasilan video telah menghasilkan sebuah filem pendek khas berjudul ‘BERKAT’ di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Menggunakan nama produksi mereka Pixeledge Production, mereka berjaya menerima dana sebanyak RM 5000.00 di bawah program Dana Industri Kandungan Digital : Dana Mikro yang diuruskan oleh FINAS dengan  dengan suntikan dana daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Idea kreatif siswa USIM ini merupakan salah-satu daripada 20 peserta yang terpilih di peringkat akhir untuk menerima dana di bawah program khas FINAS ini. Program ini bertujuan untuk membantu dan mengasah bakat-bakat baharu dalam bidang penyiaran. Sebelum terpilih, para peserta perlu melalui pelbagai proses antaranya kelas videografi, idea pitching dan sesi pembentangan produk akhir.

Menurut wakil kumpulan, Muhammad Amirul Afif Misran, 23, pada peringkat awal semua peserta perlu menghadiri bengkel khas berkaitan penggambaran iaitu Digital Creative Content anjuran FINAS dan KPWKM. Selepas itu, 43 peserta yang layak perlu membentangkan idea filem pendek masing-masing di hadapan panel Content Malaysia Pitching Centre (CMPC) sebelum 20 peserta terbaik diumumkan.

“Keputusan berjaya terpilih menerima dana mikro daripada FINAS ini diterima pada tahun lalu dan kami (Pixeledge) diberikan tempoh masa tiga bulan untuk menyiapkan filem pendek ‘BERKAT’ ini. Filem pendek ini mengetengahkan bagaimana keberkatan dalam kehidupan ini amat diperlukan untuk mengharungi perjuangan hidup, terutamanya keberkatan daripada ibu bapa. Selain itu juga, ia diharapkan dapat memberi sedikit gambaran kepada mereka yang berada di peringkat awal menceburi alam pekerjaan, ia tidak mudah tanpa kesungguhan”.

“Alhamdulillah, proses pengambaran dan suntingan telah selesai baru-baru ini dan cabaran besarnya ialah kami perlu membahagikan masa sebaiknya antara kerja produksi dan urusan sebagai mahasiswa. Hal ini kerana rata-rata krew produksi dan para pelakon semua adalah mahasiswa tahun akhir dari Fakulti Sains dan Teknologi USIM dan mempunyai komitmen tinggi dengan projek tahun akhir masing-masing yang ditetapkan oleh fakulti” ujarnya yang mengambil jurusan Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat).

“Diharapkan kejayaan kami menjadi satu inspirasi buat pelajar-pelajar yang mempunyai minat dalam bidang media kreatif ini untuk terus menonjolkan diri dan mencari saluran yang terbaik untuk mengembangkan bakat ke peringkat yang lebih tinggi” tambahnya.

Menjadikan lokasi sekitar kampus USIM dan bandar Nilai, Negeri Sembilan sebagai lokasi utama penggambaran, BERKAT yang berdurasi empat minit ini boleh ditonton di laman YouTube melalui capaian https://www.youtube.com/watch?v=m0ubXfxy4rg. Sebelum berjaya dengan ‘BERKAT’ produksi ini telah menghasilkan pelbagai video kreatif dan mereka juga telah mendapat kepercayaan Pusat Komunikasi Strategik USIM untuk menghasilkan iklan raya khas USIM 2015 berjudul ‘SYAWAL BERSAMA’.

 

DIsediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204