NILAI, 9 Ogos 2018 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dipilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebagai tuan rumah Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-9 Tahun 2018. Majlis pentauliahan yang berlangsung pada Ahad ini akan menyaksikan seramai 894 pelajar Instusi Pengajian Tinggi (IPT) ditauliahkan sebagai Pegawai Muda berpangkat Leftenan Muda.
Bertemakan “Merakyatkan Pertahanan Awam”, pentaulihan ini akan melibatkan penyertaan dari 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta seluruh Malaysia serta hampir 300 orang urusetia terdiri dari anggota APM peringkat pusat, negeri dan USIM. Para pelajar dan urusetia terlibat telah berkampung di USIM secara rasmi bermula semalam (Rabu, 8 Ogos) di Kolej Kediman USIM bagi memastikan segala persiapan berjalan lancar.
USIM dan Kor SISPA USIM amat berbesar hati dipilih menjadi tuan rumah kali kedua selepas kali pertama diberi kepercayaan menganjurkannya pada 2011. Ia adalah satu kepercayaan dan penghormatan oleh KPM dan APM kepada Universiti atas kemampuan dan kejayaan penganjuran lalu. Berazam menjadi tuan rumah terbaik, Kor SISPA USIM bekerjasama erat dengan pelbagai Jabatan di USIM dan APM untuk memastikan keperluan berkaitan penginapan, logistik, teknikal dan kebajikan para tetamu berada pada tahap terbaik.
Bersempena pentauliahan ini, satu program sampingan iaitu larian “Fun Run APM” di dalam kampus USIM sejauh 5KM akan diadakan pada Sabtu pagi. Larian berbentuk santai ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan baik antara anggota APM dengan masyarakat setempat dengan jangkaan penyertaan 400 peserta. Program ini juga merupakan satu aktviti kecergasan yang sesuai untuk semua lapisan umur masyarakat.
Majlis Pentauliahan Kor SISPA IPT pada Ahad nanti akan dimulakan dengan Majlis Perbarisan Tamat Latihan yang bermula pada jam 7.00 pagi bertempat di perkarangan Kompleks Sukan Tunku Najihah USIM. Selesai dengan aturcara perbarisan, majlis akan disusuli dengan majlis penyampaian sijil pentauliahan di Dewan Tuanku Canselor.
Dijangka akan menerima kehadiran tetamu yang tinggi, justeru bagi memastikan aliran trafik dan pergerakan di dalam dan sekitar kampus berjalan lancar pada hari kejadian, pihak penganjur memohon kerjasama dan menasihatkan para pengunjung khususnya ahli keluarga para pelajar untuk mengikuti arahan lalu-lintas daripada para petugas dan tiba awal di kampus.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032