NILAI, 12 Ogos 2018 – Bertemakan “Merakyatkan Pertahanan Awam”, seramai 818 pelajar ditauliahkan sebagai Pegawai Muda berpangkat Leftenan Muda dari 26 Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta seluruh Malaysia dalam satu Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-9 Tahun 2018 pada 12 Ogos 2018 bertempat Dewan Tuanku Canselor USIM.
Prof Dato Dr Musa Ahmad, Naib Canselor USIM berkata, USIM amat berbesar hati dipilih menjadi tuan rumah kali kedua selepas kali pertama diberi kepercayaan menganjurkannya pada 2011. Ia adalah satu kepercayaan dan penghormatan oleh KPM dan APM kepada Universiti atas kemampuan dan kejayaan penganjuran lalu. Berazam menjadi tuan rumah terbaik, Kor SISPA USIM bekerjasama erat dengan pelbagai Jabatan di USIM dan APM untuk memastikan keperluan berkaitan penginapan, logistik, teknikal dan kebajikan para tetamu berada pada tahap terbaik.
Dato Musa turut berasa yakin bahawa mahasiswa yang bergiat dalam Kor SiSPA telah dilatih secara fizikal dan mental bagi menghadapi segala cabaran khususnya menghadapi persekitaran yang semakin mencabar. Tambahan pula, anggota SiSPA boleh meningkatkan keberkesanan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam kesiapsiagaan awam dan perlindungan masyarakat serta pengurusan bencana di kawasan kampus dan sekitar kawasan setempat.
Beliau melahirkan rasa syabas dan tahniah kepada semua anggota Kor SiSPA kerana telah menunjukkan komitmen yang tinggi sehingga berjaya menamatkan latihan dengan cemerlang setelah menekuni ilmu Pertahanan Awam selama 3 tahun.
Turut dianjurkan program ‘Fun Run APM’ yang telah diadakan pada sehari sebelum majlis pentauliahan berlangsung. Program larian santai 5km dalam kampus USIM ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan baik antara anggota APM dengan masyarakat setempat selain menggalakan aktiviti kecergasan yang sesuai untuk semua lapisan umur masyarakat.
Turut hadir Datin Paduka Ir Dr. Siti Hamisah Japsir, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi dan Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pertahanan Awam, TPj. (PA) Roslan Wahab.
Anugerah Kadet Kor SISPA Terbaik USIM disandang oleh Siti Aminah Hussain, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan. Anak bongsu dari empat beradik ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tanah Liat , dan kemudian menyambung pengajian di Sekolah Menengah Islam alMasriyah. Kini beliau melanjutkan pengajian di USIM dalam bidang kaunseling. Memilih APM kerana pernah membantu keluarganya dan mendapat inspirasi untuk membantu orang lain juga seperti APM. Beliau turut meminati badan beruniform APM ini kerana satu-satunya abang turut berkhidmat sebagai anggota beruniform iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Manakala Mohd Izzuddin Abdul Rahim,21, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) USIM berkata, minat dengan aktiviti kesukarelawan selain menjadikan medium untuk berbakti kepada masyarakat menjadikan Izzuddin menceburi badan beruniform APM.Kenangan manis adalah sewaktu menjalani beberapa kurus dan dapat berkenalan dengan kawan-kawan yang berlainan fakulti disamping menjadikan dirinya seorang yang berdisiplin.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032