NILAI, 19 Ogos 2018 – Program kesukarelawanan khas yang dilaksanakan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) iaitu Jelajah Sukarelawan USIM berkunjung ke Kampung Simpang Gelami, Jelebu pada hujung minggu lalu (18 dan 19 Ogos 2018). Program selama dua hari satu malam di sana dikendalikan oleh Jawatankuasa Kebajikan Siswa/I (JAKSA) Kolej Kediaman Nilam Court (KKNC) USIM. Disertai seramai 16 orang JAKSA serta pengetua dan felo kolej kediaman, beberapa program dilaksanakan di sana bagi menyantuni penduduk kampung Simpang Gelami.
Program Jelajah Sukarelawan USIM, Jelebu, Negeri Sembilan yang turut mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Kariah Masjid Sungai Relai, Kampung Simpang Gelami ini berjaya mencapai objektif penganjurannya. Sepanjang program ini, aktiviti yang dilaksanakan berteraskan kepada empat sanggar iaitu Sanggar Sihat, Sanggar Sukan, Sanggar Ilmu dan Sanggar Bakti.
Menurut Pengetua KKNC, Muhammad Izuan Ab Ghani, pelaksanaan program ini digerakkan dengan sebaiknya oleh mahasiswa yang terlibat. “Pada masa kini, pelajar sebenarnya sedang bercuti panjang semester sehingga awal September nanti, tetapi bagi menjayakan program ini, mereka pulang awal dan berada di kampus untuk menguruskan segala gerak-kerja yang berkaitan”.
“Pengisian hari bertama kita bersama penduduk kampung ialah ceramah agama selepas solat Maghrib di Masjid Kariah Sungai Relai yang bertemakan akidah yang sohih (betul) asas kepada kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Alhamdulillah khalayak yang hadir amat baik sekali dan reaksi yang diterima adalah baik” ujar Muhammad Izuan.
Pengisian pada hari kedua lebih berbentuk interaksi langsung dengan penduduk kampung dan melibatkan penyertaan dari pelbagai peringkat umur. Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah senaman cergas bersama penduduk kampung, sukaneka dan mewarna bagi kanak-kanak, kelas bimbingan bacaan Al-Fatihah dan tajwid serta gotong-royong membersihkan persekitaran masjid. Bagi golongan ibu-ibu, turut diadakan demontrasi masakan Melayu Johor dan bagi yang dewasa berpeluang untuk mendapatkan rawatan Islam yang dikendalikan oleh Darus Syifaa’.
Bagi Pengarah Program ini, Mohd Zulkarnain Mohammad, peluang kepada mahasiswa untuk menyantuni masyarakat secara langsung sebegini merupakan satu pendedahan yang baik buat mereka dalam membina kematangan diri, pemikiran dan pergaulan. “Sebagai mahasiswa, apabila Universiti telah menyediakan platform untuk terlibat dalam program sukarelawan seperti ini misalnya, ia seharusnya diambil peluang kerana manfaat yang diterima begitu banyak sekali. Kesukarelawan mampu membentuk jati diri yang unggul, mendidik kita untuk sentiasa bersyukur, ringan tulang untuk membantu mereka yang memerlukan serta menjiwai kehidupan bermasyarakat” katanya.
Jelajah Sukarelawan USIM 2018 ini merupakan satu projek besar yang julung kali digerakkan oleh USIM yang melibatkan melibatkan penyertaan fakulti, kolej kediaman dan badan pelajar melaksanakan program kesukarelawan di Negeri Sembilan khususnya dan beberapa lokasi terpilih di seluruh negara. Projek yang mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri Sembilan dalam bentuk dana ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dengan masyarakat khususnya luar bandar yang dapat mengukuhkan lagi agenda integrasi Ilmu Aqli dan Naqli serta membentuk warga kampus yang cakna dan prihatin.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032