NILAI, 17 November – Puteri Nur Nadia Bakri, 22, pelajar Sarjana Muda Sains Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dipilih mewakili Malaysia ke pertandingan hafazan peringkat antarabangsa di Dubai.

Beliau menyertai Syeikha Fatima Bint Mubarak International Holy Quran Competition yang berlangsung dari 4 November lalu dan berkahir pada semalam (16 November). Pertandingan ini hanya terbuka kepada peserta wanita sahaja ini disertai 63 buah negara termasuk Malaysia.

Antara negara yang bersaing di Dubai ini ialah Brunei, Indonesia, Filipina, Sri Lanka, Kuwait, Algeria, Sudan serta negara tuan rumah. Puteri Nur Nadia mewakili Malaysia setelah muncul johan dalam Pertandingan Hafazan Peringkat Kebangsaan 2018 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada April lalu sebagai peserta mewakili Negeri Sembilan.

Walaupun tidak berjaya menempatkan diri sebagai sepuluh peserta terbaik di Dubai, tetapi penyertaan tetap membanggakan USIM. Ini adalah penyertaan kali ketiga beliau diperingkat antarabangsa membawa nama negara dan antara kejayaan yang pernah diraih beliau adalah muncul johan dalam pertandingan hafazan antarabangsa di Brunei Darussalam pada 2015.

Menurut bekas pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Selangor, Kuala Langat ini, setiap pertandingan yang disertai memberi pengalaman dan ilmu baharu kepadanya. Beliau mula menghafal Al-Quran bermula dari Tingkatan Satu dan berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk ketika di Tingkatan Lima. “Saya merupakan anak sulung dari lapan orang adik-beradik dan ibu-bapa menekankan kepada kami kepentingan menghafaz Al-Quran”.

“Bagi memastikan hafazan ini terjaga, kebiasannya saya akan fokus mengulang bacaan kira-kira sejam sehari selepas menunaikan solat Maghrib di kampus. Tiada guru khas yang membimbing selain ahli keluarga cuma apabila mewakili negara, ada pembimbing yang dilantik untuk memantapkan lagi persiapan hafazan saya dan kesemmpatan ini juga saya gunakan untuk menambah ilmu mengenai bacaan Al-Quran” ujar Puteri Nur Nadia.

“Alhamdulillah, suasana kehidupan di kampus USIM yang sesuai dengan jiwa saya dan teman-teman yang sentiasa menyokong juga amat membantu saya dalam memantapkan hafazan ini dari semasa ke semasa. InsyaAllah jika diberi peluang mewakil negara dalam pertandingan hafazan seumpama ini, saya akan lakukan yang lebih baik” tambahnya yang kini berada di tahun akhir pengajiannya di USIM.

Pernah diuji cabaran besar semasa menghafaz Al-Quran apabila dijangkiti kuman dalam kepala semasa di Tingkatan Empat sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi dan bercuti sakit selama tiga bulan untuk rawatan pemulihan. Selepas sihat, beliau kembali menghafaz semula Al-Quran dan berjaya menghabiskan sebelum tamat persekolahan.

Pertandingan yang memasuki tahun ketiga penganjurannya mendapat sokongan kuat dari pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum telah berlangsung di Scientific and Cultural Association di Al Mamzar, Dubai.

Prepared by:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032