NILAI, 22 Januari 2019 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil langkah proaktif untuk mencegah denggi yang kini menjadi wabak di kawasan Nilai. Ini berikutan kenaikan kes demam denggi yang meningkat di kawasan Putra Point Nilai, Taman Bukit Sendayan, Taman Sendayan Indah, Taman Tuanku Jaafar Fasa 3, Impiana Residencee Nilai dan Bandar Seremban Selatan Fasa 3B.

Pengarah Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Dr Nik Mohd Shafikudin bin Md Taujuddin berkata, PKU mengambil langkah drastik dengan membuka bilik gerakan denggi yang beroperasi setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad bermula jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam. Ini kerana kami ingin sentiasa memantau pelajar terutamanya apabila mereka mendapati ada simptom seperti demam, muntah-muntah, sakit perut dan sebagainya.

“Bagi menangani insiden penyakit demam denggi yang dibawa oleh nyamuk Aedes, PKU, USIM mengambil inisiatif termasuk dengan melaksanakan pelbagai langkah pencegahan seperti mengadakan program Gotong-royong Perdana iaitu My Beautiful USIM di Kolej-kolej Kediaman USIM. Selain itu, PKU juga membuat pemeriksaan berkala di kawasan pembiakan denggi sekitar USIM termasuk di kampus dan kolej kediaman USIM,” katanya lagi.

Menariknya, program gotong-royong yang dianjurkan oleh USIM ini juga mendapat sambutan dari penduduk sekitar seperti Taman Desa Anggerik, Taman Semarak, Desa Kasia, Desa Jati dan Nilai Impian. Ini kerana, kebersihan di kawasan sekitar juga memainkan peranan dan perlu mendapat kerjasama dari semua pihak termasuk masyarakat setempat bagi mengurangkan risiko kepada jangkitan wabak denggi.

Bagi di Kolej Kediaman, pembersihan dan gotong-royong yang dilakukan di Kolej Kediaman Nilam Court (KKNC) adalah seperti pencucian tangki air utama di semua blok, pembersihan longkang yang tersumbat oleh kontraktor, pencucian longkang di kawasan kafeteria dan memantau jadual kutipan sampah.

Menurut Penolong Pengurus Asrama KKNC, Encik Muhammad Hafeez Khuzair berkata, pemantauan terhadap kebersihan di kawasan asrama KKNC adalah penting kerana menjadi tanggungjawab pihak pengurusan untuk menjaga kebajikan semua penghuni di KKNC.

Di samping itu, PKU juga mengadakan kaji selidik dan juga mengadakan kempen “Health Street Education” dengan membekalkan ubat khas, “abate” kepada warga USIM dan pelajar di kolej-kolej kediaman bagi mengawal pembiakan nyamuk aedes.

Dr Nik juga memaklumkan bahawa PKU sentiasa menghadiri mesyuarat berkala bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di peringkat Negeri Sembilan untuk mengumpulkan maklumat terkini mengenai status wabak denggi di kawasan Negeri Sembilan terutamanya di Nilai.

Disediakan oleh:
Dr. Fauziah Hassan
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)