NILAI, 10 Februari 2019 – Pusat Perumahan Pelajar (PPP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Bengkel Pemerkasaan Majlis Pengetua dan Felo Kolej Kediaman 2019 pada baru-baru ini. Penganjuran bengkel selama tiga hari dua malam di Ayer Keroh, Melaka tersebut disertai seramai 32 peserta terdiri daripada pengetua, felo kolej kediaman dan kakitangan PPP.

Objektif pelaksanaan bengkel ini untuk memantapkan keurusetian dan pengurusan kolej kediaman USIM melalui peranan besar yang dimainkan oleh pengetua dan felo kolej kediaman. Perasmian bengkel ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Madya Dr. Rushdan Jailani.

Dalam ucapannya beliau menarik perhatian untuk setiap program di kolej kediaman menepati kehendak Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang menjadi asas pendidikan negara. Katanya, FPN menekankan kepada pembangunan yang berterusan kepada pelajar berteraskan empat aspek iaitu minda, fizikal, emosi dan kerohanian untuk melahirkan pelajar yang harmoni dan seimbang.

“Apabila kita mempunyai mahasiswa yang seimbang, mereka inilah yang akan kembali semula kepada masyarakat untuk berbakti dan menyumbang. Program yang dianjurkan oleh kolej kediaman untuk penghuninya saya sarankan untuk sentiasa melihat impaknya menepati pemegang taruh kita yang pelbagai”

“Pemegang taruh pertama ialah pelajar selaku entiti utama di dalam universiti. Pihak kedua ialah komuniti  yang berada diluar universiti dan mereka ini merupakan kumpulan besar yang meletakkan harapan kepada mahasiswa kita untuk membantu mereka”. ujarnya.

Tambahnya lagi pihak ketiga ialah industri yang mahukan pelajar yang dilahirkan telah bersedia sepenuhnya untuk memenuhi jangkaan mereka dan pemegang taruh terakhir ialah Kementerian Pendidikan dan Kerajaan.

“Kolej kediaman boleh bersama-sama membantu dalam menyiapkan pelajar untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0, menerapkan kemahiran insani yang lengkap dan kemampuan menguasi lebih dari dua bahasa”.

Sepanjang bengkel ini beberapa pengisian khusus diaturkan berbentuk taklimat, latihan dalam kumpulan, perbincangan dan sumbang saran. Diakhir bengkel ini, beberapa input dan resolusi telah dihasilkan antaranya pemurnian dasar kolej kediaman, penambahbaikan kriteria pemilihan penghuni kolej kediaman dan pembangunan sebuah sistem baharu untuk pemilihan kemasukan ke kolej kediaman menggunakan mata merit.

 

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032