KOTA BHARU, 17 Mac 2019 – Hampir 20,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menyerbu reruai Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk mendapatkan maklumat bagi menyambung pengajian terutama di peringkat Tamhidi dan Ijazah Sarjana Muda.

Menurut Pengarah di Jabatan Pemasaran dan Kemasukan Pelajar (JPKP), Prof Madya Dr Ernie Suzana Ali berkata, jumlah pengunjung meningkat disebabkan ramai pelajar lepasan SPM/STAM yang datang dari luar Kelantan seperti Pahang dan Terengganu turut datang berkunjung ke reruai USIM.

“Untuk karnival kali ini, JPKP komited untuk membantu pelajar-pelajar lepasan sekolah agama yang memperoleh keputusan SPM/STPM/STAM dan diploma yang cemerlang untuk melanjutkan pengajian yang betul dan tepat dalam pelbagai bidang profesional yang ditawarkan di USIM. Selain itu, pelajar juga berpeluang memperoleh latihan menyeluruh yang komprehensif bagi menyediakan diri sebagai tenaga kerja mukmin profesional suatu hari nanti”.

“Memang ramai pelajar yang datang ke reruai kami dan berminat untuk menyambung pengajian dalam bidang bukan agama seperti Komunikasi, Kaunseling dan Komunikasi Media Baharu walaupun mereka dari aliran agama”.

Tambah Dr Ernie, USIM satu-satunya Universiti yang sangat istimewa kerana menawarkan program pengajian daripada perspektif yang berbeza iaitu proses pengajian yang  menggabungkan Ilmu Naqli (wahyu) dan Aqli (akal) atau singkatannya INAQ. Melalui proses pengajian yang istimewa ini, setiap mahasiswa berpeluang untuk menggunakan sepenuhnya kelebihan asas pengajian islam di peringkat sekolah dan integrasi ilmu pengajian Islam lanjutan dengan pengajian bidang profesional pilihan bagi menghasilkan bidang ilmu baharu yang mematuhi maqasid syariah bagi menjaga kemaslahatan sejagat.

Menurut salah seorang petugas karnival iaitu Pensyarah Kanan Program Komunikasi di USIM, Dr Sofia Hayati Yusoff berkata, memang ramai pelajar yang datang ke reruai kami dan berminat untuk menyambung pengajian dalam bidang komunikasi walaupun mereka dari aliran agama.

“Ada yang datang bertanya, bolehkah kami menjadi Penerbit TV apabila tamat pengajian di USIM?” katanya apabila berinteraksi dengan pelajar-pelajar yang datang melawat reruai USIM.

Katanya lagi, terdapat juga bekas alumni USIM yang datang ke karnival ini dan menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana secara jarak jauh bagi meningkatkan kualiti dalam kerjaya mereka.

USIM menawarkan tempat kepada pelajar lepasan SPM/STPM/STAM 2019 yang mengambil Bahasa Arab dan lulus cemerlang untuk menyambung pengajian dalam pelbagai program pengajian profesional seperti Program Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah, Sarjana Muda Kaunseling, Sarjana Muda Komunikasi, Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam, Sarjana Muda Pengajian Fiqh dan Fatwa dan sebagainya.

Karnival kali ini turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM iaitu Prof Dr Abdul Rahim Abdul Rahman yang turut sama turun padang mengadakan promosi kepada pelajar yang datang berkunjung selain 15 petugas termasuk para pensyarah dari beberapa fakulti.

Lebih 99,000 pengunjung telah hadir memeriahkan Karnival Jom Masuk IPT 2019 yang diadakan di Aeon Mall Kota Bharu, Kelantan pada 16 dan 17 Mac 2019. Karnival ini akan diadakan seterusnya di dua zon yang terakhir iaitu Zon 5 iaitu di Mydin Mall Petra Jaya Kuching Sarawak (23 dan 24 Mac) dan Zon 6 di MAEPS Serdang (30 dan 31 Mac).

KPM menyediakan lebih kurang 100 reruai untuk menempatkan 20 Universiti Awam dan juga beberapa Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) seperti UNITEN, UniKL, Lake View College Bukit Merah dan lain-lain untuk memeriahkan karnival ini bagi memberi maklumat dan informasi kepada semua bakal mahasiswa.

Disediakan oleh:
Dr Fauziah Hasan
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204