SEREMBAN, 17 Mac 2019 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merupakan satu-satunya Universiti Awam (UA) yang dijemput untuk mengadakan pameran selama enam hari sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan bagi Tahun 2019M/1440H bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan.

Antara flagship USIM yang datang mengadakan pameran sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran itu ialah Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ), Pusat Kebudayaan, Pusat Keusahawanan, Pusat Alumni, Penyelidikan Kg Mizan, Stream Lab dan Penerbit USIM.

Menurut Pengarah di Pusat Komunikasi Strategik USIM, Dr Hayati Ismail berkata, pameran sebegini sememangnya membantu USIM untuk meningkatkan keternampakan (visibility) USIM di mata masyarakat dan peluang sebegini perlu dimanfaatkan sebaiknya dengan mengadakan interaksi bersama pengunjung supaya mereka yang melawat pameran USIM mengetahui tentang penyelidikan, projek pembangunan, program pengajian dan lain-lain yang dijalankan oleh USIM.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih atas peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan. Semoga kerjasama ini akan berpanjangan pada masa akan datang,” katanya di akhir perbualan.

Dalam masa yang sama, Tuan Hj Yusri bin Mohd Akhir, Ketua Unit Pengurusan Pendidikan Islam (Sektor Pendidikan Islam) dari Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan berkata, kerjasama dengan USIM akan terus diadakan memandangkan USIM adalah satu-satunya Universiti Awam yang terdapat di Negeri Sembilan untuk bersama-sama memperkasa aliran pendidikan di Malaysia.

“Kami mengharapkan USIM dapat mengadakan pameran yang berkaitan dengan pembangunan syiar Islam selari dengan penubuhannya sebagai Universiti berteraskan Islam” katanya lagi.

Sebanyak 14 agensi kerajaan termasuk USIM, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Tabung Haji, Bank Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan dan lain-lain dijemput untuk mengadakan pameran bagi memberi makluman dan informasi kepada pengunjung bermula 17 Mac hingga 22 Mac 2019.

 

Disediakan oleh:
Dr Fauziah Hasan
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-7978629/78620 Faks : 06-798 8032