NILAI, 10 Mac 2019 – Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhaduddin ibni Tuanku Muhriz berkenan untuk berangkat ke Himpunan Mega Interkolej (HMI) 2019 di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada Ahad malam.

Majlis HMI 2019 merupakan  majlis makan malam yang menghimpunkan hampir 5000 siswa kolej kediaman USIM dan siswa luar kampus. Kali kedua ia dianjurkan, tahun ini ia mengangkat tema ‘Alam Melayu’ yang diterjemahkan dengan hiasan dalaman dewan dan busana pakaian yang digayakan oleh siswa USIM di majlis tersebut.

Tunku Ali Redhauddin selaku Pro-Canselor USIM berkenan menyempurnakan gimik perasmian HMI dan turut menyampaikan Anugerah Pelajar Popular dan Anugerah Pelajar Terbaik Kolej Kediaman kepada 12 orang penerima.

Selain menikmati pelbagai jenis menu yang disediakan, para penghuni kolej kediaman yang hadir turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan menarik. Ibarat kenduri besar-besaran, siswa yang hadir merupakan penghuni Kolej Kediaman Satu, Kolej Kediaman Nilam Court, Kolej Kediaman Sutera Indah, Kolej Kediaman Acacia Avenue dan Kolej Kediaman Pandan.

Tutur sama dijemput adalah pelajar USIM yang tinggal diluar kampus di bawah Campus Student Secretariat (OCSS) atau Sekretariat Pelajar Luar Kampus. HMI merupakan merupakan penjenamaan semula daripada Malam Perdana Siswa yang merupakan acara makan malam tahunan bagi setiap Kolej Kediaman USIM yang dibuat berasingan oleh setiap kolej kediaman sebelum ini.

“Matlamat penganjuran himpunan ini adalah untuk menghimpunkan penghuni kolej kediaman dan pelajar luar kampus bagi mengeratkan ukhuwah yang terjalin di antara penghuni, pengurus kolej kediaman dan kakitangan tertinggi universiti. Di samping itu, himpunan ini juga bertujuan untuk memberi anugerah penghargaan untuk siswa USIM yang menetap di kolej kediaman USIM dan pelajar tinggal luar kampus” ujar Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Jailani.

Tambahnya, salah satu faktor yang menyebabkan graduan gagal mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian adalah kerana tidak berkemahiran dan tidak berdaya saing. Belajar di universiti bukan sekadar hadir ke kelas tetapi perlu mengambil peluang untuk membangunkan potensi diri, meningkatkan kemahiran atau ‘soft skill’ serta membina hubungan sosial yang baik di antara satu sama lain.

Turut hadir menyerikan majlis tersebut adalah EXCO Kerajaan Negeri Sembilan, Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek; Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad; dan Pengurusan Universiti.

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-7978629/78620 Faks : 06-798 8032