NILAI, 17 April 2019 -Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), melalui peneraju program iaitu Institut Sains Islam (ISI) USIM melebarkan skop tanggungjawab sosial korporatnya kepada masyarakat dengan menjalin kerjasama bersama tiga buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu RumahNgaji Negeri Sembilan, AQ Wise Sdn Bhd dan KL Braille Resouces dalam satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 17 April 2019.

Objektif kerjasama ini adalah pembudayaan pembacaan al-Quran di kalangan masyarakat dan pemerkasaan program dan aktiviti berkaitan al-Quran oleh pihak USIM dan RumahNgaji Negeri Sembilan. Selain itu, kerjasama USIM dan AQ Wise Sdn Bhd pula memfokuskan kepada pembangunan Tadabbur al-Quran Tematik melalui multimedia dan konsultasi kandungan daripada pihak USIM agar kandungannya mampu dicapai oleh komuniti OKU, manakala kerjasama USIM dan KL Braille Resources pula meningkatkan kadar literasi dan ruang ilmu kepada komuniti OKU Penglihatan dan mereka yang berminat untuk menambah pengetahuan dalam bidang Pendidikan Khas (Penglihatan) amnya.

Melalui usahasama ini, pihak USIM akan menawarkan konsultansi dan kepakaran berkaitan Pendidikan dan Agama kepada golongan OKU. Usaha murni ini membuka ruang USIM bekerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan dalam meningkatkan bahan-bahan rujukan ke arah merealisasi revolusi industri 4.0 yang menggabungkan dunia biologikal, fizikal, digital dan menghasilkan pelbagai teknologi baharu yang memberikan kesan kepada pelbagai disiplin, ekonomi dan industri.

”USIM kini sedang berusaha untuk menggerakkan dan mengaktifkan jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam dan luar negara agar perkongsian kepakaran yang sedia ada mampu digerakkan seterusnya menyumbang ke arah melahirkan masyarakat penyayang yang mempunyai sikap yang positif terhadap kekuatan dan kelainan komuniti OKU dengan menawarkan persekitaran yang inklusif. Ke arah itu, USIM melalui Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) mula meneroka isu dan cabaran OKU Penglihatan dalam pengajian al-Quran seawal tahun 2006”.

”Katanya lagi, hasilnya USIM menawarkan kursus Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran dan Sunnah sebagai Kursus Wajib Fakulti seawal tahun 2008 bagi memenuhi kelompangan guru-guru agama yang tidak mempunyai kemahiran mengajar al-Quran berbantukan al-Quran Braille. Pada tahun 2010, FPQS menubuhkan Special Interest Group (SIG) ‘Quran Sunnah for Special Needs’ dengan memberi tumpuan kepada kelompangan isu pengajian Islam dalam kalangan OKU secara holistik sehingga tertubuhnya Institut Quran Braille (IQ Braille) pada tahun 2011”.

”Kini, fungsi IQ Braille ini diperluaskan fokusnya kepada kategori OKU yang lain seperti OKU Pendengaran, Pembelajaran dan Fizikal dengan penjenamaan semula di bawah Institut Sains Islam (ISI) sebagai Unit Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) pada Januari 2018. Bagi memaknakan santunan OKU@USIM, pihak pengurusan universiti bersetuju dengan penubuhan Pusat Ibnu Ummi Maktum (UMMI Centre) pada 7 Februari 2019 sebagai hab perkhidmatan, latihan, penyelidikan dan inovasi yang mensasarkan sumbangan infaq pembangunannya bersebelahan Kompleks Islam Tunku Muhriz (KITM) yang menelan belanja sebanyak RM16 Juta”, tambah Dato Musa.

Majlis MoU di antara USIM dengan pihak industri ini ditandatangani oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM, Dato Haji Mah Hassan Haji Omar Pengarah Urusan KL Braille Resources, YM Raja Zainal Abidin Shah Raja Izhar Pengasas AQ Wise Sdn Bhd dan Puan Ghazirah Hashim Penyelaras RumahNgaji Negeri Sembilan.

Turut diadakan perasmian Ibnu Ummi Maktum Street atau dikenali sebagai UMMI Street yang merupakan sudut di bangunan FPQS yang menjadi laluan dan ruang legar bagi para mahasiswa dan pengunjung untuk ke Makmal Quran Braille. Ruang ini semakin menjadi tumpuan berikutan keunikan Makmal Quran Braille yang telah meletakkannya sebagai sebahagian daripada destinasi utama para tetamu dan pelawat yang berkunjung ke USIM mahupun FPQS. Makmal Quran Baille ini merupakan satu-satunya ‘teaching lab’ yang dibangunkan oleh USIM sebagai makmal tutorial bagi kursus Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran dan Sunnah. Kursus ini secara tidak langsung telah memberi pendedahan dan latihan kepada mahasiswa tentang kepentingan dan keperluan menyampaikan ilmu Islam kepada komuniti berkeperluan khas.

Turut hadir sama Prof. Dato’ Dr. Roshada Hashim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Prof Madya Dr Mohd Zohdi Mohd Amin, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dan Ustaz Norakyairee Md Raus Ketua Kluster Ummi Maktum.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032