NILAI, 10 Mei 2019 – Kira-kira 2500 bungkus bubur lambuk diedarkan secara percuma kepada pelajar kolej kediaman dan pelajar luar kampus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) oleh Pusat Perumahan Pelajar (PPP) yang diadakan pada setiap kali bulan Ramadan, dan ini merupakan tahun ketiga penganjurannya.
Pengarah Pusat Perumahan Pelajar, Encik Ahmad Kamal Mustafa berkata, sudah menjadi rutin kami untuk membuat edaran bubur lambuk di awal Ramadhan dan ini boleh dikatakan menjadi acara wajib setiap kali Ramadhan sebagai tanda kesyukuran dan berkongsi rezeki kepada semua pelajar USIM terutamanya.
“Apa yang lebih menarik lagi ialah setiap tahun bubur lambuk dimasak sendiri oleh staf di PPP, pengurusan kolej kediaman dan Felo Penghuni dengan menggunakan enam periuk yang dimasak di perkarangan Kolej Kediaman 1,” katanya lagi.
“Edaran bubur lambuk bermula seawal jam 2 petang dan ianya habis diagihkan kepada semua pelajar kolej kediaman dan juga pelajar luar kampus USIM. Kami juga turut mengedarkan kepada staf dari beberapa Jabatan yang turut hadir ke Program Kacau-Kacau Bubur Lambuk PPP,” katanya lagi.
Menurut Puan Tengku Azwani Tengku Azmi, Penolong Pengurus Asrama Kanan juga selaku Pengarah Program berkata, seperti tahun-tahun lepas, kami masih menggunakan bahan masakan yang sememangnya menjadi “signature” kepada Pusat Perumahan tanpa menghilangkan rasa tradisional bubur lambuk.
Turut serta dalam program ini ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, YBhg Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani selaku perasmi berkata program sebegini dapat memupuk semangat kekeluargaan dalam kalangan staf, Pengetua, Felo Penghuni dan JAKSA di setiap Kolej Kediaman.
“Saya melihat bahawa semangat gotong royong dan kerjasama dalam membuat bubur lambuk ini dapat mengeratkan silaturrahim selain dapat menambahkan keberkatan dalam bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan sedekah. Selain itu pemberian bubur lambuk ini juga dapat menjadi juadah tambahan kepada pelajar untuk berbuka puasa,” katanya.
Dengan adanya program ini, pelajar antarabangsa juga dapat merasai keenakan bubur lambuk yang menjadi tradisi setiap kali Ramadhan, katanya lagi.
Program Kacau-Kacau Bubur Lambuk PPP 2019 merupakan anjuran Pusat Perumahan Pelajar USIM yang disertai oleh kakitangan di Pusat Perumahan Pelajar dan juga Pengetua dan Felo Penghuni. USIM kini mempunyai 5 buah Kolej Kediaman di dalam dan luar USIM yang menempatkan kira-kira 5500 pelajar serta sebuah pengurusan untuk pelajar luar kampus.
Disediakan oleh:
Dr Fauziah Hassan
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan