NILAI, 29 Mei 2019- Bersempena Program Santunan Ramadan dengan penganjuran pengisian petrol percuma dan edaran iftar kepada motosikal dibawah 150cc hasil kerjasama Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM dengan Petronas Bandar Baru Nilai, program turut meraikan pemberian infaq Ramadan dari Kedai Mesra Petronas sumbang 20 kotak berisi barangan makanan untuk diberikan kepada para pelajar USIM yang memerlukan. Sumbangan ini merupakan hasil kerjasama dari cawangan Kedai Mesra Petronas sekitar Cheras, Semenyih dan Nilai atau lebih dikenali sebagai Trading Area 16 (TA 16).

Sumbangan berisi makanan seperti biskut, roti, makanan ringan dan minuman itu akan ditempatkan di Kompleks Islam Tunku Muhriz yang menjadi tumpuan pelajar untuk solat dan beristirehat selepas waktu kuliah.

Encik Harith Ashraf Zulemran Pengurus Kawasan TA 16 Wilayah Tengah 3 berkata, program ini amat memberi makna kepada para pelajar yang sememangnya ada kalangan mereka yang kurang berkemampuan dan terpaksa mengikat perut untuk berjimat.

“Kerjasama seperti ini diharap dapat meringankan beban dan dijalankan secara berterusan pada masa akan datang, juga USIM merupakan universiti berdekatan dengan Petronas Bandar Baru Nilai  dan pastinya pengguna setia dan sokongan dari warga USIM tidak dinafikan”.

Manakala Naib Canselor USIM Prof Dato Dr Musa Ahmad, juga turut berterima kasih dan menghargai usaha yang dilaksanakan oleh Petronas dan Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM dalam menyantuni ummah dengan penganjuran pengisian petrol percuma beserta edaran iftar kepada penunggang motosikal bawah 150cc yang diadakan buat kali kedua.

“Saya berharap agar akan ada perancangan CSR projek yang lain, menjalankan kerjasama dalam menggunakan kepakaran yang ada di USIM”, tambah Dato musa.

Seramai dianggarkan lebih 400 penunggang motosikal yang bertuah sekitar Nilai menyertai program ini.

Majlis turut merasmikan perpustakaan mini petronas iaitu ruang santai sudut membaca di dalam Kedai Mesra Petronas dengan menempatkan buku-buku terbitan USIM hasil karya penulisan pensyarah untuk bacaan kepada para pengunjung.

Program Santunan Ramadan ini turut mendapat kerjasama dari  Pusat Islam dan Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) USIM dan pelajar dari International Student’s Association (INSAN) .

Turut hadir Puan Mariani Basri, Pengusaha Petronas Bandar Baru Nilai, Dato Hj Mohd Abd Rasid Mohd Fadzil Bendahari USIM, Dr Mushaddad Hasbullah Pengarah PWZ USIM, Dr Hayati Ismail Pengarah StraComm dan Encik Mohammad Aizuddin Abdul Aziz Pengarah Pusat Islam.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan