NILAI, 14 Jun 2019- Seramai 30 peserta menyertai program Social Enterprise@ Urban Community 2.0 (SE@UC 2.0) yang berlangsung di Pusat Keusahawanan Universiti (PKUU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini.
Para peserta didedahkan kepada dua siri bengkel pembangunan kemahiran pembuatan kek dan pastri oleh Kolej Komuniti Hulu Langat. Antara kek dan pastri yang mereka pelajari adalah Scone, Chocolate Chips Muffin, Blueberry Muffin, Butter Cake, Marble Cake dan Chocolate Moist dalam masa satu hari sahaja.
Menurut Dr Mohd Shukor Harun Pengarah PKUU, Social Enterprise@ Urban Community 2.0 (SE@UC 2.0) merupakan program keusahawanan sosial bagi membantu meningkatkan pendapatan dan ekonomi isi rumah komuniti setempat. Peserta akan menjalankan aktiviti yang melibatkan kemahiran dan ilmu keusahawanan bagi memberi nilai tambah kepada komuniti setempat bagi membentuk pendapatan dan perniagaan yang boleh dijalankan dirumah.
“Ini merupakan program tahunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan capaian prestasi dan hala tuju program keusahawanan yang ditindikkan untuk melahirkan kumpulan usahawan siswazah sekali gus dapat melahirkan Job Creator dalam bidang usahawan. Program ini juga melibatkan proses transisi maklumat serta ilmu pengetahuan dalam bidang pengurusan perniagaan bersama komuniti setempat”.
“Selain USIM sebanyak 4 buah universiti telah dipilih oleh KPM untuk mengendalikan program ini iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti teknikal Melaka (UTeM), universiti Malaysia Sabah (UMS), dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), tambah Dr Shukor.
Hasil pembelajaran daripada program ini akan dibukukan dengan kerjasama enam buah universiti yang terlibat iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Melaka (UMK), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Diharap penganjuran program ini akan melahirkan usahawan dan meningkatkan pendapatan isi rumah komuniti setempat, mentransformasikan pemikiran mahasiswa dalam bidang keusahawanan melalui gerak kerja lapangan sebagai usahawan sosial, selain menerapkan nilai dan kemahiran keusahawanan dalam diri masyarakat melalui mahasiswa sebagai agen keusahawanan sosial.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan