NILAI, 3 Ogos 2019 – Seramai 220 peserta menyertai program Kayuhan Ukhuwah Bersama Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz bertempat di USIM anjuran Kelab Rekreasi Aktiviti Lasak (KREAL) USIM.

Kayuhan Ukhuwah ini bermula seawal jam 8 pagi dilepaskan bermula dari Kompleks Islam Tuanku Muhriz (KITM) oleh Pendaftar USIM, YBhg Dato Muhammad Haizuan Rozali pada jam 8 pagi dengan kerjasama Pasukan Polis Trafik yang mengawal dan mengiringi laluan kumpulan berbasikal dengan jarak keseluruhan kayuhan adalah sejauh 22 km.

YAM Tunku Pro-Canselor berada di barisan hadapan bersama para peserta memulakan kayuhan dari KITM USIM-Bulatan Bomba Nilai-Mesamall-Nilai Spring-Taman Kasturi-Bulatan Persiaran-Bulatan MPN-Desa Kolej-Mesamall-Jln Nilai Spring-Taman Anggerik dan berakhir di garisan penamat di KITM di USIM.

“Program kayuhan yang merupakan cetusan idea Naib Canselor USIM, YBhg Prof Dato Dr Musa Ahmad diadakan bagi menggalakkan budaya aktiviti dan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat dan warganya. Bagi menjadikan USIM sebagai universiti ’Mesra Basikal’ pada masa yang sama dapat menerapkan semangat kesukanan dalam satu pasukan melalui aktiviti riadah yang menjadi pilihan pada masa kini,” ujar Mohd Nadzir Abd Manaf selaku Pengarah Program.

Tambahnya, program kayuhan ini disertai bukan sahaja warga USIM malahan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang luar serta pengamal media menyambut baik menyertai program ini bagi menyemarakkan aktiviti sukan berbasikal.

Turut menyertai program kayuhan ini adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, YBhg Prof Dato’ Dr Roshada Hashim yang mewakili Naib Canselor bersama suami Prof Dr Rozhan Mohamed Idrus, YBhg. Dato’ Seri Ir Dr. Zaini Ujang dan Pengurusan Universiti antaranya Dr Hayati Ismail, Pengarah Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) dan Dr Mushaddad Hasbullah, Pengarah Pusat Wakaf dan Zakat.

Pada akhir acara YBhg Prof Dato’ Dr Roshada Hashim menyampaikan cabutan bertuah iaitu cabutan barakah berupa hamper manakala Tunku Pro-Canselor turut berkenan menyampaikan hadiah kepada peserta bertuah sebagai cabutan barakah utama yang terdiri daripada helmet dan 3 unit basikal.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan