NILAI, 6 OGOS – Hari yang manis untuk dikenang oleh 62 orang siswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila menerima Sijil Pelantikan Pegawai Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) sebagai Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis daripada Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor. Penyampaian sijil ini diadakan bersempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor SUKSIS Universiti Awam Malaysia Kali Ke-15, Tahun 2019 di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada Ahad lalu (4 Ogos).

Dalam majlis ini, pelatih Kor SUKSIS USIM merupakan sebahagian daripada 1167 pelatih Kor SUKSIS dari 19 buah Universiti Awam yang menerima sijil lantikan ini selepas berjaya menamatkan latihan kepolisan selama enam semester. Mengangkat tema ‘SUKSIS Cemerlang, PDRM Unggul’ bagi majlis pada tahun ini, ia dimulakan dengan perbarisan tamat latihan di Padang Kawad USM pada sebelah pagi diikuti dengan penyampaian sijil pentauliahan sebagai Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis di Dewan Tuanku Syed Putra USM.

Pentauliahan kumpulan (kohot) kesebelas Kor SUKSIS USIM pada tahun ini menjadikan seramai 636 Inspektor Sukarelawan Polis telah berjaya dilahirkan oleh USIM sejak pengambilan kumpulan sulung pada 2006. Pada majlis ini, tiga pelatih daripada USIM yang cemerlang turut menerima penghargaan daripada Timbalan Ketua Polis Negara. Penuntut Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah, Mohamad Zaim Muslim (KS 82049) menerima Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan manakala rakannya, Mohd Zulfiqar Jamudin (KS 82055) yang mengambil jurusan yang sama dipilih penerima Anugerah Pelatih Terbaik Latihan Luar. Anugerah Pelatih Terbaik Akademik pula diterima oleh Jnur Asilawati Baha’uddin (KS 82088) yang mengikuti pengajian Fiqh dan Fatwa.

Mohamad Zaim yang ditemui melahirkan rasa gembira dengan anugerah yang diterimanya. “Ini merupakan penghargaan kepada diri sendiri, keluarga dan rakan-rakan pelatih atas segala pengorbanan selama menjalani latihan yang panjang. Saya mewakili rakan Skuad 11 turut terhutang budi pada barisan pegawai kehormat, pegawai dan jurulatih Kor SUKSIS USIM yang sentiasa menyokong kami tanpa lelah”.

Sementara itu Dato’ Mazlan Mansor semasa menyampaikan ucapan di majlis perbarisan tamat latihan mengucapkan setinggi tahniah dan syabas kepada para pelatih kerana selesai dan berjaya menjalani latihan pentauliahan dengan cemerlang serta penghargaan kepada USM selaku tuan rumah. Beliau juga berharap melalui Kor SUKSIS ini ia dapat melahirkan lebih ramai pewaris negara yang berilmukan kepolisan dalam berhadapan cabaran masa kini dan hadapan. Pelatih juga dinasihatkan agar menjauhi aktiviti sosial yang tidak berfaedah serta sentiasa mendekati rakan-rakan mahasiswa di kampus.

Bersempena majlis pentauliahan kali ini, turut dilancarkan Silibus Latihan Kor SUKSIS Universiti Awam yang baharu menggantikan silibus yang sedia ada yang akan digunapakai mulai 1 September ini. Silibus baharu ini mengandungi kandungan modul-modul yang telah dikemaskini, memenuhi keperluan semasa dan selari dengan penggubalan akta dan undang-undang terkini.

Dalam majlis pentaulihan kali ini juga, siswa daripada Universiti Malaya, Muhammad Rasid Guliling menerima anugerah tertinggi iaitu Anugerah Khas Ketua Polis Negara (Pelatih Terbaik Keseluruhan) manakala Anugerah Khas Ketua Polis Negara (Skuad Terbaik) dirangkul oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Turut hadir meraikan kejayaan para pelatih Kor SUKSIS USIM yang ditauliahkan di USM adalah Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Negeri Sembilan, ACP Samad Yahya; Komandan Kor SUKSIS USIM, ACP/KS Profesor Madya Dr.Mohd Rushdan Mohd Jailani; dan pegawai-pegawai kehormat.

 

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan