NILAI, 25 Mac 2020 – Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif menghasilkan pelindung muka atau face shield untuk digunakan oleh anggota kesihatan barisan hadapan dalam memerangi Covid-19. Projek penghasilan pelindung muka ini digerakkan oleh kumpulan pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi yang di ketuai oleh Dr. Mohd Ifwat Mohd Ghazali.
Pelindung muka yang dihasilkan oleh mereka ini merupakan antara komponen penting pelindungan diri yang dipakai oleh anggota kesihatan bersama kelengkapan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) yang lain sebagai langkah perlindungan keselamatan mengelakkan terdedah secara langsung dengan virus Covid-19.
Memahami situasi semasa yang dihadapi oleh anggota kesihatan barisan hadapan yang cekal berjuang dan tidak lelah dalam memerangi wabak ini dan rasa tanggungjawab untuk turut sama membantu dan memberi sokongan berterusan kepada barisan hadapan, beliau bersama rakan pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi mencadangkan kepada Pengurusan USIM untuk menghasilkan alat pelindung muka bagi disumbangkan ke hospital yang memerlukan secara percuma dengan segala kos berkaitan ditanggung sepenuhnya oleh USIM.
Alatan yang dihasilkan oleh Fakulti Sains dan Teknologi ini dibuat menggunakan mesin cetakan 3D yang terdapat di Fakulti Sains dan Teknologi. Pelindung muka yang dihasilkan ini akan dipakai bersama pelindung plastik pakai buang yang turut dibekalkan oleh Fakulti Sains dan Teknologi bagi memudahkan para pasukan kesihatan menjalankan tugas mereka.
Menurut Dr Mohd Ifwat, penghasilan pelindung muka ini telah dibuat secara berperingkat bermula Isnin lalu. “Kita mempunyai lima buah unit mesin cetakan 3D yang digunakan untuk Pembelajaran dan Pengajaran yang kita manfaatkan untuk tujuan murni ini. Setiap mesin mempunyai kemampuan untuk menghasilkan 5 hingga 10 unit pelindung muka sehari dan kita berjaya siapkan 40 unit buat masa ini”.
“Ketika ini permintaan dan penggunaan pelindung muka amat tinggi di hospital tetapi bekalan yang ada kini adalah terhad kerana setiap waktu para anggota front liner akan mengendalikan kes-kes suspek Covid-19 dan mereka yang positif mengidapnya. Risiko kesihatan itu amat tinggi, justeru pelindungan diri yang sempurna perlu dipakai oleh anggota kesihatan kita”.
“Alhamdulillah, sebanyak 12 unit set pelindung muka bersama pelindung plastik pakai buang kita telah serahkan kepada Hospital Tunku Jaafar, Seremban dan 10 set lagi untuk Hospital Ampang Jaya. Kita turut bekalkan 2 set untuk digunakan anggota Jabatan Keselamatan USIM yang bertugas di pintu utama universiti kerana mereka bertugas untuk menyaring suhu badan setiap kakitangan dan pelawat yang masuk ke kampus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. Terdapat permintaan dari hospital dan klinik kesihatan lain kita terima dan kita cuba penuhi dalam masa terdekat”.
Bahan yang digunakan bagi menghasilkan pelindung muka ini adalah 3D filaments, A4 transparent sheets, foam padding, glue, tapes dan elastics rubber. Pensyarah yang turut sama menjayakan projek ini adalah Dr. Muhammad Zamir Othman, Dr. SM Shahrul Nizan Shikh Zahari, Dr. Azira Khalil, Dr. Mohd Azrul Mohd Yunus, Dr. Sofina Tamam dan Cik Siti Nazurah Md Jusoh.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan