NILAI, 13 Julai 2020 – Jalinan kerjasama melalui Perjanjian Persefahaman (MoU) kali ini di antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan Malaysian Takaful Association (MTA) mencapai kata sepakat antaranya bagi sama-sama memperkasakan modal insan melalui program pertukaran kakitangan dan pelajar antara kedua-dua institusi.

Majlis MoU bertempat di Galeri USIM menyaksikan USIM diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Ridza Wahiddin dengan disaksikan oleh Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Prof. Dr. Rosalina Abdul Salam manakala MTA diwakili oleh Pengerusi Lembaga Pengurusan MTA, En. Muhammad Fikri Mohamad Rawi dengan disaksikan oleh En Azli Munani, Ketua Pegawai Eksekutif MTA.

“USIM ke arah prosumerisme dan ianya telah menjadi salah satu daripada Teras Strategik USIM bagi merealisasikan hasrat USIM menjadi Universiti Sain  s Islam Glokal berimpak tinggi menjelang tahun 2022. USIM mengharapkan agar pihak industri seperti MTA menyokong dan bersama-sama USIM menjadi sebahagian daripada usaha ini,” ucap Prof. Ridza Wahiddin.

Bentuk kerjasama lain yang dirancang adalah sesi perkongsian maklumat terkini berkaitan bidang tadbir urus kewangan dan takaful melalui siri-siri taklimat, seminar dan forum. Di USIM sendiri, Fakulti Sains dan Teknologi (FST) adalah antara fakulti yang telah memulakan kerjasama dengan MTA secara tele conferencing melalui aplikasi Webinar pada 22 Mei 2020 yang lalu.

Seminar adalah Takaful Industry: Resilience during Crisis telah memberi ruang kepada kakitangan dan pelajar untuk mengisi ruang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu dengan aktiviti yang bermanfaat. Sesi ini juga dapat memberi pendedahan kepada realiti dunia korporat secara first hand daripada pemain industri sendiri.

USIM sebelum ini pernah memeterai MoU dengan MTA yang menyediakan peluang menjalani latihan industri kepada pelajar USIM serta peluang menjalankan penyelidikan bersama dalam bidang insurans dan pengurusan kewangan, serta peluang untuk bertukar kepakaran dalam bahan-bahan bersifat pedagogi (pedagogical materials).

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan