NILAI, 3 Disember 2020 – Bagi menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada barisan kepimpinan jawatan khas pentadbiran yang di sandang oleh barisan ahli akdemik, satu Majlis Penyerahan Surat Pelantikan dan Penghargaan Jawatan khas Pentadbiran sesi 2021/2022 telah diadakan di Eksekutif Lounge Aras 6 Canselori. Watikah pelantikan dan surat penghargaan disampaikan oleh YBhg. Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin Naib Canselor.
Mesyuarat Jawatankuasa Pelantikan Jawatan Khas Pentadbiran yang telah dipengerusikan oleh Naib Canselor bertarikh 2 November 2020 telah melantik seramai 76 ahli akademik bagi menyandang jawatan khas pentadbiran bagi jawatan CIO, Dekan, Timbalan Dekan, Pengarah dan Timbalan Pengarah bagi sesi 2021/2022.
Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin Naib Canselor USIM dalam ucapannya berkata, krisis global akibat penularan wabak COVID-19 bukan sahaja menyebabkan pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara konvensional tertangguh, bahkan menjadikan tugasan semakin mencabar apabila mereka perlu menyesuaikan diri dengan norma kehidupan dan kebiasaan baharu yang memerlukan PdP dilaksanakan secara dalam talian.
“Perumpamaan yang saya ingin kongsikan adalah sesebuah organisasi ini umpama pelayaran untuk membawa universiti berkembang maju, sekiranya pengemudi tidak bersepakat dan tidak mempunyai arah, maka tidak akan sampailah destinasi yang ingin dituju. Semua ada kekuatan dan kelemahan masing-masing, dimana kelemahan itu ditampung oleh yang lain begitu juga sebaliknya. Jika tiada kerjasama dalam satu kumpulan itu maka tempang lah ia”, ujar Prof Ridza.
“Terima kasih diucapkan kepada barisan pimpinan sebelum ini atas cabaran, halangan, dan peluang yang telah diberikan dalam menggerakkan agenda universiti”.
Prof Ridza turut berharap dengan pelantikan ini mereka akan dapat mengadakan perhubungan dan komunikasi dua hala, saling bertukar idea dan saling membimbing orang bawahan agar dapat perkembangkan potensi masing-masing. Kali ini, barisan lantikan ini akan diberikan latihan dan bimbingan dalam mentadbir urus jabatan.
Turut hadir ke majlis tersebut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Prof Dr Abdul Rahim Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Prof Dr Mohammad Hamiruce Marhaban, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani dan Dato Muhammad Haizuan Rozali Pendaftar USIM.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan