NILAI, 14 Disember 2020 – Pusat Alumni dan Kerjaya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menubuhkan Tabung Amanah Kebolehpasaran Graduan USIM-UI Platinum Group dengan kerjasama Usahawan Alumni yang memiliki Syarikat UI Platinum Group yang memberikan sumbangan sebanyak RM50,000.00 sebagai dana awal bagi mengisi tabung ini. Majlis penyerahan sumbangan disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, YBhg Prof Madya Dr Rushdan Mohamad Jailani.
“Tabung Amanah Kebolehpasaran Graduan USIM-UI Platinum bermatlamat membantu membiayai program-program GE USIM dalam jangka panjang. Sumber tabung ini disalurkan oleh syarikat-syarikat swasta bagi tujuan penyediaan latihan kepada graduan USIM. Jalinan kerjasama ini memberi manfaat di mana, syarikat-syarikat ini akan diberikan pelepasan cukai pendapatan dan selain menjadikan graduan USIM yang menerima latihan melalui dana Tabung Amanah GE-UI Platinum ini sebagai kakitangan syarikat mereka,” ujar En Mohd Asri Hj Husain, Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya.
Tambahnya lagi, pihak Platinum Group Bhd yang juga Usahawan Alumni akan dilantik sebagai Penyelaras bagi membantu dalam mendapatkan sumbangan dana daripada pihak industri. Pusat Alumni dan Kerjaya berharap Tabung Amanah GE USIM-UI Platinum ini akan dapat direalisasikan untuk kelestarian kebolehpasaran graduan USIM pada jangka masa panjang.
En Muhammad Nafis Bin Abdul Mois, Usahawan Alumni USIM berkata, UI-Platinum Group memberi fokus kepada pembangunan projek, pembangunan produk dan perniagaan, konsultansi dan pengurusan majlis.
”Sebelum ini UI-Platinum Group telah bekerjasama dengan Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) dan Pusat Alumni dan Kerjaya. UI-Platinum Group juga pernah menjadi platform dengan pelajar USIM yang ingin menjadi sukarelawan GISO berkhidmat sebagai tutor eksekutif kepada 300 orang pelajar di FSU dan memberi penjanaan kewangan kepada persatuan mereka dan UI-Platinum Group pernah berkhidmat kepada Pusat Alumni dan Kerjaya untuk program pembangunan GE untuk meningkatkan keboleh pasaran graduan USIM setelah bergraduasi,” ujar En Muhammad Nafis yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif UI Platinum Group Sdn. Bhd.
”Kami juga optimis dalam mencari platform-platform lain untuk bekerjasama. Untuk maklumat, USIM sangat diperlukan dalam masyarakat dan tugas kita menjadi match maker untuk menjadi graduan yg kompeten dalam masyarakat selain menjadi individu yang profesional kepada industri untuk kembali berbakti kepada masyarakat,” ujarnya lagi.
Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan