NILAI, 1 September 2021 – Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil yang juga merupakan penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pada 1440H/2018M, telah menghembuskan nafas yang terakhir pada jam 6.32 petang, 31 Ogos 2021 semalam di sebuah hospital swasta di Selangor.
Merupakan lulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam Kebudayaan Melayu dan Falsafah Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Persuratan dalam Pemikiran Islam dari Universiti yang sama dan Sarjana Muda Sastera dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya. Allahyarham Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) yang keempat USIM menggantikan Tan Sri Dato’ Profesor Emeritus Dzulkifli Abdul Razak untuk tempoh tiga tahun bermula pada 1 Oktober 2018 hingga 30 September 2021.
Beliau juga merupakan Presiden Kolej Dar al-Hikmah, Ketua Majlis Istisyari Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE). Selain itu, beliau turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Pusat Kajian Maqasid Shariah IDE dan Pengerusi Akademi Kajian Ketamadunan (AKK) yang merupakan sebuah entiti dibawah naungan Kolej Dar al-Hikmah.
Dalam kariernya, beliau telah berkhidmat sebagai pensyarah di UKM sejak tahun 1974 sehingga 2001. Meskipun tidak lagi bertugas sebagai seorang ahli akademik, beliau terus kekal aktif dalam kegiatan dakwah, disamping menulis dan menyampaikan syarahan ilmiah, khususnya dalam bidang pemikiran dan ilmu-ilmu Islam, sejarah dan kebudayaan Melayu-Islam, peradaban Melayu, pendidikan Islam dan Pengurusan Islam. Allahyarham turut terlibat secara aktif dalam beberapa siri perkongsian ilmu bersama warga akademik dan merupakan antara penyumbang aktif Zakat USIM.
Beliau mula melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan dakwah semenjak pengajiannya di universiti dan pernah memimpin Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di samping Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). Beliau kemudiannya menerajui Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebagai Presiden ketiga dari tahun 1983-1991 dan merupakan mantan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) 2005-2015. Allahyarham juga adalah Felo Akademik dan Ketua Panel Penulis modul Pengurusan Tauhidik dan buku Pengurusan Islami: Menghayati Nilai-nilai Qur’ani (YaPEIM).
Mewakili Pengurusan dan seluruh warga universiti, Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham atas pemergian beliau yang disifatkan sebagai seorang tokoh yang begitu dihormati dan disegani. Sesungguhnya khidmat bakti serta jasa Allahyarham kepada USIM dan sumbangan beliau kepada masyarakat khususnya dalam pembangunan ummah dan syiar Islam tidak dapat dinafikan. Semoga rohnya dicucuri rahmat.
Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan