NILAI, 22 Februari 2023 – Dalam usaha untuk mendekati komuniti sekitar, Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Program Klinik Futsal untuk memberi pendedahan mengenai sukan futsal kepada kanak-kanak bawah 12 tahun yang terdiri daripada anak-anak penduduk di sekitar perumahan Taman Desa Anggerik, Desa Jati, Desa Kasia dan Desa Acacia Nilai serta Bandar Sri Putra Bangi.
Seramai 33 peserta telah menyertai program Klinik Awalan Futsal ini yang berlangsung di Pusat Sukan Tunku Najihah USIM baru-baru ini.
Menurut Saudara Mohammad Izzuddin Loh, mahasiswa tahun dua program Sarjana Muda Bahasa Arab dengan komunikasi merangkap pengarah program berkata, ini merupakan projek akhir kokurikulum semester di mana mahasiswa memilih untuk mendekati kanak-kanak sekitar kampus.
“Antara objektif utama program ini adalah untuk mengubah mentaliti peserta agar mereka tahu membezakan antara sukan Bola sepak dan Futsal. Ternyata modul-modul yang telah disusun dan diterapkan oleh juru latih iaitu Encik Azrien Jamian seperti ‘Ball Mastery’ dan pendekatan ‘5 Teknik Asas Futsal’ sedikit sebanyak membuka minda anak-anak ini, seterusnya mngimplementasikan ilmu yang telah dipelajari untuk di bawa ke peringkat sekolah seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi suatu hari nanti.
“Klinik Awalan Futsal yang julung-julung kali diadakan ini telah mendapat sambutan di luar jangkaan daripada apa yang kami sasarkan. Alhamdulillah program ini berjalan lancar walaupun pada mulanya cuaca agak sedikit hujan, namun kanak-kanak ini terus bersemangat dan akhirnya klinik ini dilaksanakan dengan jayanya. Kami mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang sudi hadir dan menyokong program ini ”, ujarnya lagi.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan