PROFIL

IBRAHIM ADHAM BIN ASMAIL @ ISMAIL
Pemilik FLICKERS, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur

Alma mater:
*Sarjana Muda Pengajian Al-Quran dan al-Sunnah, USIM
*Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Macquarie University, Sydney, Australia

Ibrahim Adham bin Asmail @ Ismail atau nama ringkas pada rakan-rakan universiti ‘Baim’, sangat terkenal sebagai seorang mahasiswa yang pendiam dan tidak banyak bicara. Namun sifat pendiam ini tidak menghalang beliau untuk menjadi seorang yang ceria, mudah bertegur sapa, dan dikenali oleh rakan-rakan mahasiswa yang lain. Ibrahim merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Tinggi Arab Negeri Johor atau Maahad Johor dan menyambung pengajian beliau di Fakulti Pengajian al-Quran dan al-Sunnah dalam jurusan Sarjana Muda Pengajian al- Quran dan  as-Sunnah, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) atau kini dikenali sebagai Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada tahun 2002. Beliau berjaya menamatkan pengajian beliau di KUIM pada tahun 2005. Walaupun bergraduat sebagai salah seorang mahasiswa bidang Pengajian Islam di IPTA Malaysia, jejak kerjaya Ibrahim adalah sedikit berbeza dari kebanyakan yang lain. Sejurus menamatkan pengajian di KUIM, Ibrahim bekerja dengan salah satu agensi kerajaan Negeri Johor iaitu Yayasan Pembangunan Keluarga Johor Darul Takzim (YPKDT) selama tiga tahun iaitu dari 2005 hingga 2008 sebagai Pegawai Rundingcara. Di YPKDT, beliau telah ditemukan dengan pasangan hidup beliau dan mendirikan rumah tangga pada bulan Jun 2007. Antara projek utama di bawah seliaan beliau di YPKDT ialah projek pembangunan modul Keluarga Sakinah. Ibrahim seterusnya meletakkan jawatan di YPKDT untuk melanjutkan pengajian bersama isteri, Puan Alia, di Macquarie University, Sydney, Australia. Beliau melanjutkan pelajaran di dalam jurusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Master of Business Administration) dan berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2011. Di Australia, Ibrahim telah menerima beberapa tawaran bekerja dan membuat keputusan untuk menetap di Sydney. Namun atas beberapa isu melibatkan masalah kesihatan anak, beliau dan isteri memutuskan untuk kembali ke Malaysia.

Minat dan kecenderungan Ibrahim dalam bidang keusahawanan terpupuk sejak bergelar mahasiswa lagi, terutama semasa di Australia. Namun, disebabkan belum menemui peluang perniagaan yang diminati dan berpotensi, beliau menangguhkan dahulu minatnya untuk serius dalam bidang keusahawanan ini sehingga kembali ke Malaysia. Di Sydney, Ibrahim bekerja separuh masa di beberapa ‘Coffee House’ sekitar universiti beliau. Di samping itu, beliau telah menyertai Sydney Coffee School bagi mendalami industri dan kemahiran membuat kopi. Minat beliau menyertai industri ‘Coffee House’ ini terpupuk sejak menyertai Sydney Coffee School dan telah menanamkan tekad untuk memiliki sebuah ‘Coffee House’ kelak. Sejurus kembali ke Malaysia, Ibrahim telah bekerja dengan ‘Coffee Planet Malaysia’. Menurut beliau, ‘Coffee Planet Malaysia’ ini adalah sebuah syarikat yang berpengkalan di Dubai, UAE dan memiliki ladang kopi yang luas di Costa Rica. Pengalaman bekerja di ‘Coffee Planet Malaysia’ selama dua tahun digunakan beliau secara serius dalam membantu membuka perniagaan ‘Flickers Coffee House’ di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Selain daripada membuka ‘Flickers’, Ibrahim juga menjalankan perniagaan pengedaran biji kopi berkualiti seperti ‘green hornbill coffee’ dan ‘roaster’, ‘coffee beans beverage powder’, dan sebagainya. Di samping itu, Ibrahim turut aktif menjalankan perniagaan menjual mesin membancuh kopi dan menjalankan latihan ‘barista’ kepada para peminat industri membancuh kopi di Malaysia. Dalam proses mendalami lagi industri kopi ini, Ibrahim telah menyertai The Speciality Coffee Association of Europe (SCAE). Dengan pengalaman yang menyeluruh dalam industri ini, baik sebagai pekerja di luar negara mahupun sebagai usahawan, Ibrahim telah membuktikan bahawa alumni bidang Pengajian Islam KUIM mampu untuk menceburi bidang kemahiran yang lain. Pendedahan yang diterima di pelbagai lapisan industri, dalam dan luar negara, membolehkan beliau memliki aspek kemahiran dan kepakaran, pendidikan, serta perdagangan berkaitan kopi. Antara perancangan masa hadapan Ibrahim adalah untuk meluaskan lagi perniaagaan Flickers. Beliau merancang untuk mendapatkan lebih banyak biji kopi dari negara Brazil dan Indonesia  untuk didagangkan selain membina rangkaian francais Flickers di Malaysia. Menurut Ibrahim, impak menjadi alumni USIM dan mahasiswa Pengajian Islam adalah menjadikan beliau sedar tentang kepentingan membangunkan ekonomi umat Islam. Beliau turut menegaskan bahawa walaupun beliau seorang pelajar Pengajian Islam, bidang ini tidak menghalang beliau untuk menjadi lebih bermotivasi dalam mempelajari ilmu-ilmu kemahiran yang terkini. Antara konsep yang dipercayai beliau sebagai sangat penting adalah konsep jihad perniagaan dan juga wakaf korporat. Menurut beliau lagi, dari segi perniagaan, apa yang penting bukan bidang pengajian, tetapi sikap atau ‘attitude’ mahasiswa. “Dalam perniagaan 98% yang terlibat adalah ‘attitude’ dan 2% adalah kemahiran.” Hanya dengan ‘attitude’ usahawan yang asli, seseorang mampu untuk menceburi perniagaan secara konsisten. Perkara ini dinyatakan sebagai perkara utama yang membolehkan pelajar di bawah latihan beliau kekal dalam perniagaan atau tidak.

*dipetik dari Buku Biografi Usahawan Alumni USIM
(Terbitan Pejabat Perhubungan Alumni dan Pejabat Pembangunan Keusahawanan Siswa ~Tahun 2014)