Nama Penuh :  Mohd Shahrul Faizie bin Zaini

Kerjaya Terkini :
Pengacara TV Alhijrah,
Pengarah Fathul Ridhwan Travel & Tours Sdn. Bhd. Cawangan Putrajaya.

Alma/Mater : Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam dengan Kepujian.

Profil Diri

Tanggal 10 November 1986, lahirnya seorang bayi yang diberi nama Mohd Shahrul Faizie di Kg. Melayu, Kluang, Johor Darul Takzim. Permata hati kepada Noriza binti Othman dan Zaini bin Ahmad ini dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan didikan agama yang secukupnya.  Alam persekolahan beliau bermula di TABIKA KEMAS Bukit Gambir. Beliau melangkah ke alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Gambir sehingga ke Tahun 3 dan kemudian berpindah ke Sekolah Kebangsaan Panjang Sari, Pagoh.

Alam persekolahan menengah beliau bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Perak, Muar sehingga ke tingkatan 5. Mendapat tawaran pelbagai kolej swasta, akhirnya beliau memilih Koleh Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) untuk melanjutkan pengajian dalam Diploma Pengajian Islam Dakwah. Pada tahun 2007, beliau mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di Universiti Mu’tah, Jordan namun terpaksa dilupakan atas kekangan kewangan. Akhirnya, beliau memilih USIM untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah dalam bidang Dakwah dan Pengurusan Islam. Ketika di USIM, beliau telah ditemukan dengan pasangan hidup beliau dan mendirikan rumahtangga pada tahun 2011. Kini beliau dan isteri telah dikurniakan 3 orang cahaya mata.

Beliau merupakan pelajar yang agak pendiam sewaktu di sekolah menengah. Namun, beliau sangat aktif menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah. Ketika di sekolah menengah, beliau hanyalah pelajar yang sederhana dalam pencapaian pelajarannya. Namun segalanya berubah apabila beliau mula melangkah ke menara gading.

Bidang Pengajian yang berbeza

Setelah menamatkan pengajian Diploma di Universiti Darul Iman (UDM) , beliau menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda di USIM dalam bidang Dakwah dan Pengurusan Islam.  4 tahun berkelana menuntut ilmu di bumi USIM, beliau tidak pernah menyangka akan meneruskan karier dalam bidang Komunikasi dan Media. Bergraduasi sebagai graduan Pengajian Islam tidak menghalang Faizie untuk meneruskan karier dalam bidang komunikasi dan media kerana beliau berani mencabar diri untuk belajar sesuatu yang baru.

Dua bidang yang berbeza namun masih terdapat persamaan dalam beberapa aspek.  Segala apa yang dipelajari tentang ilmu dakwah dan pengurusan Islam berjaya diaplikasikan dalam karier beliau sebagai seorang Wartawan Penyiaran dan Pengacara TV. Segala ilmu dan teori dakwah yang dipelajari sepanjang berada di USIM mampu diterjemahkan melalui penulisan skrip, penghasilan program dan dokumentari TV serta penampilan beliau yang petah berkata-kata sebagai pengacara. Faizie cukup bertuah kerana beliau bukan sahaja belajar sesuatu yang baharu dalam bidang media dan komunikasi malahan beliau mampu meningkatkan lagi skil dan kemahiran untuk berdakwah dengan lebih meluas lagi.

Perkembangan Terkini

Faizie kini menyumbangkan jasa dan bakti melalui pelbagai bidang antaranya media, pendidikan dan perniagaan. Bergelar pengacara TV Alhijrah sejak tahun 2011 telah banyak mematangkan beliau tentang asam garam industri penyiaran. Berkat kesabaran dan kecekalan selama ini telah membuahkan hasil apabila beliau memperolehi kejayaan sebagai pengacara terbaik TV Alhijrah  pada  tahun 2013.

Selain itu juga, beliau kini aktif memberikan ceramah motivasi dan latihan melalui syarikat konsultan beliau iaitu Gen Alif Training and Consultancy. Antara fokus latihan yang disediakan ialah pembinaan karakter diri, pengurusan imej dan personaliti, kemahiran pengucapan awam, study smart dan lain-lain lagi.

Pada tahun 2013, beliau telah dilantik USIM sebagai penasihat akademik Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan. Beliau bertindak sebagai penasihat yang menyumbangkan idea dan buah fikiran dalam meningkatkan tahap pencapaian akademik mahasiswa-mahasiwi USIM.

Pada tahun 2015, Faizie telah dilantik sebagai Ikon Seni USIM. Satu pengikitirafan yang diberikan oleh Pusat Kebudayaan USIM untuk alumni-alumni yang aktif dalam bidang seni.

Pada tahun 2016, beliau telah dilantik sebagai Ikon bagi sebuah syarikat agensi umrah dan pelancongan iaitu Fathul Ridhwan Travel & Tours Sdn. Bhd.  dan kini beliau merupakan Pengarah Fathul Ridhwan Travel & Tours Sdn. Bhd. Cawangan Putrajaya.

“Hidup biar bermanfaat”. Ini antara pegangan hidup Faizie. Oleh kerana itu, beliau kini meluangkan masa dengan aktiviti-aktiviti kemanusiaan dan bertindak sebagai aktivis NGO Islamic Relief Malaysia (IRM). Sehingga kini, beliau akan sentiasa bersama IRM untuk mengutip dana Tabung Kemanusiaan IRM melalui pelbagai aktiviti antaranya Carboot Sale, Forum Kemanusiaan, Konsert Kemanusiaan dan banyak lagi.

Kongsikan kejayaan yang telah dicapai sehingga kini.

Bermula di USIM, Faizie tidak jemu-jemu mencari peluang untuk meningkatkan potensi dirinya.  Antara kejayaan yang sangat berharga ketika di USIM ialah beliau berjaya bergraduasi dengan pencapaian CGPA 3.94 dan telah dianugerahkan Pingat Emas Anugerah Pelajaran DiRaja.

Faizie juga mula mengorak langkah dengan kejayaan demi kejayaan terutamanya di alam pekerjaan. Bermula sebagai Wartawan Penyiaran di TV Alhijrah, kini beliau berjaya menjadi seorang Pengacara di TV Islam pertama di Malaysia itu. Antara kejayaan sewaktu bergelar pengacara pula, beliau telah diberi kepercayaan untuk mewakili TV Alhijrah dalam Misi Haji 2012. Ketika musim haji tersebut, banyak pengalaman telah diperolehi beliau termasuklah menemubual secara langsung penjaga kunci pintu Kaabah Musyarrafah dari keturunan Bani Syaibah dan mengacarakan secara langsung program Labbaikallah di Makkah Al-Mukarramah.

Selain itu juga, dengan izin Allah melalui rancangan Isu Akidah yang dikendalikan beliau telah berjaya mengislamkan beberapa individu non-Muslim termasuklah pelancong dari Jepun. Kejayaan ini menyaksikan rancangan Isu Akidah bertahan selama 16 musim (5 tahun) dan ia merupakan pencapaian terbaik bagi satu-satu program di TV Alhijrah.

Antara kejayaan lain, beliau telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan analisis khas berkenaan “Pengganas PKK di Turki” sewaktu krisis keganasan memuncak pada tahun 2015. Analisis tersebut telah ditayangkan di TV Turki dan mendapat pengiktirafan serta pujian daripada kerajaan Turki.

Penglibatan sebagai pengacara di pelbagai program telah menemukan beliau dengan sebuah badan NGO iaitu Islamic Relief Malaysia (IRM). Jiwa sukarelawan yang telah sebati dalam diri beliau sejak di zaman universiti dahulu membuatkannya bergerak aktif bersama NGO tersebut. Pada 2016, Faizie telah bersama IRM dalam misi kemanusiaan di negara Kosova bagi membantu penduduk miskin di sana. Bertitik tolak sejak itu, beliau terus aktif menjalankan misi kemanusiaan IRM dalam dan luar negara sehingga kini.

Matlamat dan Pendorong Kejayaan

Setiap insan pasti ada matlamat yang ingin dicapai dalam kehidupan. Bermula tahun pertama pengajian beliau di USIM, Faizie sudah menyimpan matlamat dan sasaran untuk mencipta ‘sejarah’ dalam kamus hidup beliau. Beliau ingin memperolehi keputusan yang cemerlang di setiap semester dan membantu rakan-rakan yang lain untuk sama-sama berjaya.  Matlamat tersebut membuahkan hasil apabila beliau berjaya dianugerahkan sebagai mahasiswa terbaik USIM pada tahun 2011.

Sepanjang berkhidmat di TV Alhijrah pula, beliau meletakkan matlamat untuk membawa TV Alhijrah ke persada antarabangsa dan diiktiraf sebagai TV Islam terbaik dunia. Oleh kerana itulah, beliau sedaya-upaya untuk memberikan yang terbaik dalam tugas beliau sebagai pengacara di TV Alhijrah.

Ibu merupakan pendorong utama kejayaan beliau hari ini. Semangat arwah abah pula sentiasa tersemat di jiwa. Kini, beliau dikelilingi insan-insan tersayang yang sentiasa memberikan dorongan dan sokongan terhadap karier beliau iaitu isteri dan anak-anak.

Selain itu juga, dorongan daripada pensyarah-pensyarah beliau juga turut menaikkan semangat beliau untuk terus istiqamah dalam meneruskan pengajian ke peringkat tertinggi.

Perancangan dan harapan masa hadapan

Perancangan masa hadapan Faizie adalah untuk menjadi seorang ahli akademik yang berjaya kerana itulah cita-cita beliau sejak kecil lagi. Beliau ingin menyumbang bakti kepada universiti yang telah banyak mengubah kehidupan beliau selama ini iaitu USIM. Beliau ingin berkongsi kisah kejayaan beliau sewaktu di universiti bersama dengan anak-anak didik beliau satu hari nanti. Faizie ingin menyambung pengajian di peringkat tertinggi iaitu PhD dan berkhidmat dalam sektor pendidikan. Kejayaan yang Faizie miliki hari ini tidak pernah sama sekali membuatkan beliau lupa pada tempat yang membentuk siapa beliau hari ini. Beliau merancang untuk bersama-sama membangunkan USIM dengan kepakaran yang dimilikinya.

Faizie juga merancang untuk melebarkan sayap dalam bidang perniagaan. Yakin bahawa perniagaan merupakan sesuatu yang berisiko, beliau tetap ingin mencabar diri dalam perniagaan restoran yang bakal diusahakan bersama keluarga. Beliau percaya, perniagaan mampu meningkatkan ekonomi masyarakat Islam selain menggunakan platform perniagaan untuk membantu orang-orang susah.

Pada masa yang sama juga, beliau akan terus berkhidmat dengan TV Alhijrah kerana beliau yakin bahawa TV adalah medium terbaik untuk beliau terus berdakwah untuk masyarakat.

Harapan beliau semoga anak-anak muda hari ini tidak mempersia-siakan masa muda mereka untuk melakukan perubahan ke arah lebih baik. Tiada siapa pernah menyangka beliau mampu berjaya seperti hari ini. Seorang yang dahulunya pendiam, sering disisihkan dan dipandang rendah. Namun kini beliau mampu buktikan kepada semua orang bahawa setiap insan mampu berjaya. Bergantung pada usaha dan kemahuan diri sendiri.  Jangan sesekali terputus hubungan dengan Allah kerana Dialah yang sentiasa memandu kehidupan kita di dunia ini.  TanpaNya, kita tidak mampu mencipta kejayaan yang kita impikan.

Prinsip Kejayaan

Prinsip hidup yang menjadi ‘tonik’ buat kejayaan Faizie adalah percaya dan yakin pada kebolehan diri sendiri. Walaupun beliau bukanlah pelajar yang hebat di bangku sekolah,  namun beliau sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan yang diperolehi hari ini.  Bermula pada tahun 1 di USIM, itulah langkah pertama kejayaan mula dilakar. Beliau mula menyedari kelebihan dan kekuatan diri beliau setelah berjaya memperolehi keputusan peperiksaan semester satu iaitu GPA 3.88. Setelah itu, beliau tidak menoleh ke belakang lagi dan melipatgandakan usaha untuk semester seterusnya. Hasilnya, beliau berjaya memperolehi GPA 4.00 sebanyak 4 semester.

Prinsip seterusnya yang menjadi pegangan beliau ialah tidak kenal erti putus asa. Walaupun berdepan dengan pelbagai ujian dan mehnah sewaktu pengajian dan alam pekerjaan, beliau sentiasa kekal positif dan menganggap bahawa itu semua adalah medan untuk mematangkan diri beliau. Menurut beliau, orang yang hebat pasti akan diuji. Ujian itulah yang menjadikan seseorang semakin matang dalam kehidupan.

Stay strong and be humble. Apabila kita sudah berjaya, jangan lupa diri. Ingat asal usul kita sebelum ini. Kesemua yang diperolehi hari ini adalah dengan usaha dan keizinan Allah Taala.  Kejayaan dan nikmat yang dikecapi hari ini telah membuatkan beliau semakin dekat dengan Allah dan meraikan insan di sekeliling beliau.