NILAI, 11 Oktober 2017 – 110 pelajar terdiri dari pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berjaya menamatkan program Kursus Dakwah Tanpa Suara (KDTS) Tahap I dan II dalam satu sesi Majlis Graduasi yang diadakan di Dewan Kuliah Utama FPQS.
USIM merupakan IPTA pertama menawarkan KDTS yang ditawarkan secara terbuka sepanjang satu semester bermula pada tahun 2015.
Dekan FPQS, Prof. Madya Dr. Adnan Mohamed Yusoff dalam ucapannnya melahirkan rasa bangga dan berbesar hati dalam pelaksanaan program ini apabila USIM terpilih sebagai rakan kerjasama Yayasan Faqeh. Program ini merupakan satu inisiatif yang bagus untuk mendedahkan pelajar kepada dunia OKU Pekak melalui modul yang dibangunkan oleh Yayasan Pendidikan Al-Quran bagi Anak Istimewa.
“Program ini juga mampu memberi nilai tambah dan kemahiran insaniah kepada para pelajar khususnya dalam konteks menyampaikan ilmu agama kepada golongan istimewa. Penawaran KDTS juga telah mencipta fenomena baharu dalam dunia seni dakwah di mana penubuhan kumpulan Nasyid Tanpa Suara pertama seumpamanya dalam kalangan pelajar iaitu SaF al-Isharah pada Mac 2016. SaF al-Isharah berperanan memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap naluri berhibur dalam kalangan OKU Pekak melalui penggunaan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM), ekspresi muka dan bahasa badan.”
KDTS dibahagikan kepada dua tahap. Tahap I merupakan peringkat asas pendedahan terhadap golongan Pekak (budaya dan bahasa), latihan asas kaedah pengajaran menghafaz AL-Quran bagi OKU Pekak melalui kaedah Tahfiz Akhyar dan Penulis Wahyu dan pengajaran asas membaca Al-Quran menggunakan kod tangan berpandukan butang nombor dan warna melalui kaedah Fakih. Manakala Tahap II banyak memfokuskan kemahiran berinteraksi bersama OKU Pekak secara latih tubi dan tugasan.
Majlis juga diserikan dengan persembahan nasyid dari pelajar yang bergraduasi bertemakan ‘Save Rohingya’.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Kluster Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Tn. Hj. Norakyairee Hj. Mohd Raus, Yang Dipertua Persatuan Orang-Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA), En. Marzuki Ong Maliki Ong serta Presiden Persatuan Orang-Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA) Pn. Sariah Ibrahim.
Disediakan oleh :
Amizul Aziz
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Bangunan Canselori
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204