NILAI – Dengan tekad dan keazaman yang tinggi untuk membantu masyarakat menangani Permasalahan Syarie, Muzaffar Fariduddin, 50, Graduan Fakulti Syariah dan Undang-undang berjaya menggenggam segulung ijazah melalui Program Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIIJAP) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Muzaffar, merupakan seorang peguambela dan peguamcara yang mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam bidang undang-undang sivil tampak gembira dengan penganugerahan sijil Diploma yang diterimanya pada hari ini. Bagi dirinya, beliau telah berjaya memenuhi keinginan untuk beramal sebagai seorang peguam Syarie dan dapat membantu menyelesaikan masalah masyarakat.
Ditanya mengenai sebab beliau memilih USIM untuk menyambung pengajian, beliau berkata tertarik dengan konsep integrasi ilmu Naqli dan Aqli. Menurutnya, “USIM menyediakan kursus yang kompetitif dari segi kewangan dan masa serta kualiti pembelajaran yang lebih menarik perhatian saya untuk menyambung pelajaran di sini”.
“Para pensyarah di sini juga turut memberikan sokongan dan dorongan kepada saya dan ini terus memberikan saya inspirasi dan semangat untuk belajar tentang kehakiman Syarie ini secara mendalam,” tambahnya yang kini mempunyai Firma guaman miliknya sendiri, Muzzafar&Co. di Seremban 2, Negeri Sembilan
Bagi Muzaffar, penganugerahan sijil Diploma ini bukanlah untuk dirinya semata-mata. Beliau menyatakan hasratnya untuk membantu masyarakat dalam permasalahan undang-undang khususnya berkaitan dengan permasalahan dari sudut pandang Syarie.
“Saya membuat keputusan untuk mengambil Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIIJAP) kerana sebelum ini saya tidak dapat membantu pelanggan saya jika mereka mempunyai masalah berkaitan hukum syarie, jadi apabila saya tidak dapat membantu mereka, saya berasa sedikit terkilan.” katanya pada sesi temubual pagi ini.
Oleh: Ihsan Hakim Zefendy, Aina Farzana Azrul Anuar