NILAI, 26 November 2019 – Seramai 2,629 graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima Ijazah Sarjana Muda, Diploma Siswazah, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah masing-masing sempena Majlis Konvokesyen USIM kali ke-17 yang berlangsung tiga hari bermula 26 November hingga 28 November 2019 bertempat di Dewan Tuanku Canselor USIM.
Pada tahun ini, sebanyak lima (5) sidang berlangsung bermula dengan Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen Ke-17 pada 26 November (Sidang 1) jam 8.00 pagi yang disempurnakan oleh DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud selaku Canselor USIM.
Daripada jumlah 2,629 graduan, pecahan penerima adalah 95 orang penerima Doktor Falsafah; 89 orang penerima Sarjana; 136 orang penerima Diploma Siswazah dan 2,309 orang penerima Ijazah Sarjana Muda. Graduan PhD pada tahun ini adalah daripada 20 buah negara antaranya negara Libya, Jordan, Iraq, Gambia, Finland, Mesir, Oman, Bangladesh, China, Yemen, Singapura. Pada tahun ini juga, graduan PhD paling ramai adalah daripada negara Libya iaitu seramai 24 orang dan Oman yang kedua tertinggi iaitu seramai 21 orang.
USIM berhasrat dan komited memperkasa sistem ekonomi Islam untuk melahirkan graduan dan tenaga kerja mahir yang kompeten dalam bidang kewangan. Justeru, Majlis Konvokesyen tahun ini memperkenalkan satu program pengajian baharu di Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) iaitu Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Islam dengan Kepujian.
“Graduan Integrasi Peneraju Pembangunan Lestari” diangkat menjadi tema Majlis Konvokesyen Ke-17 pada tahun ini. Sempena graduan sulung dari Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Islam, mereka telah dididik agar menguasai ilmu-ilmu dunia dengan didasari ilmu wahyu, berteraskan keimanan dan keislaman sehingga mereka mampu menjadi seorang pemimpin yang mengatur hala tuju negara, di samping melestarikan agenda pembangunan mapan dan membangunkan peradaban dunia.
Sempena Majlis Istiadat Pembukaan pada 26 November 2019, DYMM Tuanku Canselor berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Da’wah dan Pengurusan Islam kepada Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak. Beliau merupakan mantan Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, juga pernah menjadi penyandang Kursi Akademik Kepemimpinan Islam dan Felo Utama di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) di USIM. Manakala, penerima Ijazah Kehormat Sarjana Da’wah dan Pengurusan Islam dianugerahkan kepada Tuan Haji Addenan Haji Abd. Rahman merupakan mantan Pendaftar pertama USIM, pada ketika itu dikenali sebagai KUIM (tahun 2000-2009).
Selain itu, pelajar cemerlang USIM turut menerima anugerah pada Sidang 1 bagi Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) yang dianugerahkan kepada Nurul Mukminah Muhammad Suzuri, Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan penerima kedua adalah Zati Nazifah Abdul Rahim, Sarjana Muda Pengajian Sunnah Dengan Pengurusan Maklumat Dengan Kepujian dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah. Seterusnya, penerima Anugerah Canselor adalah Sharifah Thahirah Syed Mustafa, Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi Dengan Kepujian dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama dan Idris Ismail, Doktor Falsafah Komunikasi (Siswazah) dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan manakala Pingat Emas Naib Canselor dianugerahkan kepada Syafiqah Mohammad Rushdi, Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa Dengan Kepujian dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang.
Pada majlis yang sama, anugerah kecemerlangan turut disampaikan kepada graduan cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum. Antaranya Hadiah Buku Universiti, Hadiah Buku Fakulti, Hadiah Ko-Kurikulum, Anugerah Khas Yayasan Tun Azmi, Anugerah Khas Malaysian Press Institute, Anugerah Khas Yayasan, Dakwah Islamiah Malaysia, Anugerah Khas Kecemerlangan Kaunseling, Anugerah Khas Kecemerlangan Muamalat Dato’ Dr. Abdul Halim Ismail, Anugerah Khas Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin, Anugerah Khas 3M Company (Best Student Award), Anugerah Khas 3M Company (Best Clinical Award), Anugerah Khas 3M Company (Best Research Award) dan Anugerah Daya Cemerlang.
Buat julung kalinya, bersempena Majlis Santapan Konvokesyen USIM ini, USIM sangat bertuah kerana pada tahun 2019, telah menerima zakat daripada sebelas (11) syarikat korporat dengan jumlah sebanyak Satu Juta, Empat Ratus Enam Puluh Sembilan Ribu, Lapan Ratus Lima Puluh Ringgit, Enam Puluh Sen (RM1,469,850.60).
Mereka adalah daripada Tabung Haji, Etiqa General Takaful Berhad, SME Bank, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Maybank Islamic Malaysia Berhad, Perumahan Kinrara Berhad, Takaful Malaysia Berhad, Petronas Bandar Baru Nilai, Kuwait Finance House, Bank Islam Berhad dan Tenaga Nasional Berhad.
Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM diamanahkan oleh universiti untuk mencari dan mengagihkan zakat kepada asnaf dalam universiti. Zakat yang diterima terdiri daripada sumbangan syarikat dan institusi korporat serta melalui zakat potongan gaji kakitangan USIM. Agihan zakat yang dikumpulkan ini disalurkan dalam bentuk bantuan sara hidup dan membiayai yuran pengajian para pelajar.
Turut berlangsung adalah Pesta Konvokesyen USIM yang memeriahkan kehadiran pengunjung bertempat di Tapak Pesta Konvokesyen. Pesta Konvokesyen diterajui oleh Majlis Perwakilan Pelajar USIM menyediakan pelbagai aktiviti seperti forum dan wacana ilmiah, malam muzik artis, karnival e-sukan dan kejohanan futsal terbuka, gerai jualan, pentas akhir kejohanan debat antara IPT Nilai dan program larian Nocturnal 4.0 yang membuka tirai Pesta Konvokesyen pada 23 November, disertai seramai lebih 1200 peserta di laluan sekitar dalam kampus USIM sejauh 5km.