BANGI, 27 Januari 2022 – Seramai 39 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), telah ditauliahkan sebagai Pegawai Muda di dalam Rejimen Askar Wataniah dalam satu Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES Darat Ke-39 bagi Zon Tengah 1 yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DeCTAR) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Majlis yang telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain.

Majlis pentauliahan ini menyaksikan Leftenan Muda, Afif Bin Mohd Nasir dianugerahkan sebagai pegawai kadet terbaik PALAPES USIM.

“Siswa dan siswi seharusnya melibatkan diri di dalam ko-kurikulum disamping tidak mengabaikan pencapaian akdemik. Kerana ilmu dan kemahiran yang diperolehi di dalam ko-kurikulum dapat menambahbaik etika dan cara berkerja seseorang itu. Sentiasalah menambah ilmu akademik, agama dan kemahiran. Kerana generasi muda hari ini adalah pemimpin pada masa hadapan”, ujar Afif.

Berikutan penularan wabak COVID-19, Istiadat Perbarisan dan Pentauliahan Diraja yang dilaksanakan setiap tahun telah dibatalkan. Oleh itu, Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES dilaksanakan sebagai simbolik kepada Perbarisan Pentauliahan Diraja tersebut.

Seramai 254 Pegawai Kadet berjaya ditauliahkan pada majlis ini, mereka adalah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UITM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Serawak (UNIMAS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Turut hadir sama dari USIM adalah Komandan PALAPES USIM Kolonel (Kehormat) Profesor Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin dan Timbalan Komandan PALAPES USIM Mejar Rozaimi bin Kamarudin.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan