NILAI, 28 Oktober 2022 – Seramai 4476 mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima sebuah tablet dalam satu Majlis Penyerahan Peranti Siswa yang berlangsung selama dua hari bermula 26 hingga 28 Oktober 2022 bertempat di Dewan Tuanku Canselor. Program ini merupakan inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dan Kementerian Kewangan.
Menurut Naib Canselor Prof. Ts. Dr. Sharifuddin Md Shaarani, pemberian peranti ini diberikan kepada mahasiswa dari kategori keluarga B40 iaitu pendapatan isi rumah RM4,850 dan ke bawah.
“Saya harap peranti siswa yang diterima pada hari ini dapat digunakan untuk pembelajaran dan pengajaran dengan sebaiknya”, ujarnya lagi.
Sementara itu, bagi Mohamad Najmi Aiman Nordin pelajar Tahun dua Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada KPT dan USIM atas sumbangan peranti ini kerana beliau dapat menggunakannya untuk mencatat nota dan menyiapkan tugasan kuliah, dan ini merupakan peranti pertama beliau.
Manakala Nur Atiqah Mohamad Asri pelajar Tamhidi Sains Fizikal dan Teknologi berkata, saya berasa sangat gembira kerana terpilih untuk menerima peranti siswa pada hari ini. Sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban ibu bapa saya, dan laptop yang ada saya boleh diberikan kepada adik saya untuk kegunaan mereka pula.
Majlis Penyerahan Peranti Siswa ini turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Encik Md Ishah Rahman.
Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan