BANGI, 8 Julai – Tempoh kursus dan latihan yang panjang selama 6 semester bersama Pasukan PALAPES UKM, akhirnya memberi kejayaan buat 50 orang pelajar PALAPES Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila berjaya ditauliahkan sebagai Leftenen Muda dalam Istiadat Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah pada 6 dan 7 Julai lalu di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Majlis Pentauliahan ini disempurnakan oleh Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, DYMM Sultan Muhammad V, Sultan Kelantan Darul Naim. Selepas berjaya ditauliahkan, mereka diraikan pula dalam Majlis Santapan Malam Regimental Bersama Canselor UKM dan USIM yang berlangsung di Hotel Equatorial, Bangi baru-baru ini.

PALAPES USIM yang bergerak secara rasmi menggunakan platform pasukan PALAPES UKM buat masa ini, telah berjaya melahirkan dua kumpulan Pegawai Muda PALAPES sejak pengambilan kumpulan pegawai kadet pertama diadakan pada 2009.

Dalam Majlis Santapan Malam Regimental  Bersama Canselor UKM dan USIM sempena Pentauliahan Pegawai Muda PALAPES UKM Siri 32, seramai 50 orang Pegawai Muda PALAPES USIM yang terdiri daripa 28 orang lelaki dan 22 orang perempuan telah menerima Anugerah Kesatria Jaya dari DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor UKM.

Turut berangkat hadir, DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, Canselor USIM.

Leftenan Muda Muhammad Syahir Abd Rahman, pelajar program Sunnah dan Pengurusan Maklumat, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) yang dipilih sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UKM Siri 32 dan Leftenen Muda Siti Adibah Zali, pelajar program Pengajian Quran dan Sunnah, FPQS yang menerima Anugerah Khas Komandan turut diraikan dalam majlis ini.

“Penyertaan di dalam pasukan PALAPES telah berjaya membentuk disiplin diri dan nilai kepimpinan, tanggungjawab dan kerja berpasukan yang tinggi. Alhamdulillah, pengurusan masa sebagai seorang pelajar dan pegawai kadet dapat diseimbangkan dengan baik” ujar Lt Muda Muhammad Syahir Abd Rahman.

Bagi Lt Muda Siti Adibah Zali, pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi akan dimanfaatkan dan menyimpan hasrat untuk bersama Askar Wataniah selepas tamat pengajian kelak.

Sementara itu, warga PALAPES USIM turut berkongsi kegembiraan apabila YBhg. Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail telah dianugerahkan pangkat Kolonel (Kehormat) dalam Angkatan Sukarela Persekutuan sebagai Penasihat PALAPES USIM oleh Majlis Angkatan Tentera.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman

Penolong Pendaftar StraComm