NILAI, 12 SEPT 2015  – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Sekretariat Pelajar Luar Kampus (OCSS) USIM buat julung kalinya telah menganjurkan Fit USIM Charity Run 2015 pada 12 September 2015 lalu.

Merupakan sebahagian daripada acara sempena Hari Terbuka USIM yang turut diadakan pada hari yang sama,  lebih 500 peserta terdiri daripada pelajar sekolah, pelajar Universiti dan pelbagai lapisan masyarakat berkumpul di Dewan Tuanku Canselor seawal 6.30 pagi untuk menyertai larian amal ini.

Antara objektif larian amal tersebut diadakan adalah bagi mengumpul dana untuk tabung kebajikan pelajar USIM selain memberikan galakan kepada komuniti setempat untuk bergiat aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Dengan membawa tema “Run For Deeds”, para peserta dilepaskan secara rasmi oleh Profesor Dato’ Dr. Hassan Basri Bin Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM. Turut bersama peserta berlari adalah Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad.

“Saya amat berpuas hati dengan penganjuran acara larian kampus ini yang merupakan program kemuncak bagi Biro Sukan dan Pembangunan Belia MPP, sambutan yang diterima amat memberangsangkan daripada orang ramai dan juga warga USIM” ujar Muhammad Nor Amin Bin Jamaluddin selaku pengarah Fit USIM Charity Run ’15 dan Exco Sukan dan Pembangunan Belia MPP.

“InsyaAllah jika tiada aral yang melintang acara larian kampus sebegini akan diteruskan lagi pada masa akan datang setelah menerima maklumbalas positif daripada rata-rata peserta. Saya turut berharap budaya bersukan di USIM akan terus subur dan lebih berkembang pesat melalui gerakan Fit USIM yang dipelopori MPP USIM”, tambah Amin lagi.

Terdapat 4 kategori dipertandingkan dalam Fit USIM Charity Run ’15 iaitu kategori pelajar sekolah, mahasiswa USIM, staf USIM dan kategori terbuka dengan jarak larian 5 kilometer dan 7 kilometer. Trek larian meliputi jalan di sekeliling Kampus USIM agar para peserta dapat melihat keindahan dan prasarana kampus dengan lebih dekat.

Majlis penyampaian hadiah wang tunai dan pingat kepada pemenang tempat pertama hingga ketiga bagi setiap kategori disempurnakan oleh Encik Haizuan Bin Rozali, Pendaftar USIM dan Encik Hamran, Pengarah Pusat USIM.

Disediakan oleh:

Exco Sukan dan Pembangunan Belia MPP

Dikemaskini oleh:

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204