NILAI, 21 Januari 2022 – Seramai 65 orang pelajar telah dilantik untuk menerajui barisan kepimpinan Jawatankuasa Siswa siswi Kolej Kediaman (JAKSA) dan Sekretariat Pelajar Luar Kampus (OCSS) Sesi 2021/2022, dan diraikan dalam satu Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan yang disempurnakan oleh Naib Canselor Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin bertempat di Dewan Tuanku Canselor.

Majlis anjuran Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL) ini turut meraikan dan memberi penghargaan kepada mantan JAKSA dan OCSS Sesi 2020/2021 yang banyak membantu dalam hal ehwal aktiviti dan kebajikan pelajar terutama semasa pandemik COVID-19.

JAKSA bertindak sebagai badan pelajar yang bertanggungjawab menjaga kebajikan pelajar khususnya yang menetap di kolej kediaman, manakala Sekretariat  Pelajar Luar Kampus  (OCSS) berfungsi sebagai badan pelajar yang menguruskan hal ehwal kebajikan pelajar luar kampus.

Sepanjang pendemik Covid-19 berlaku sejak Mac 2020, JAKSA dan OCSS telah terlibat secara langsung membantu PRUPEL dalam pelbagai aktiviti seperti Operasi Pulang Pelajar, Pendaftaran pelajar Tamhidi dan Sarjana Muda serta agihan Sumbangan dan Makanan Kering kepada pelajar. Sepanjang dua tahun ini, JAKSA dan OCSS telah memainkan peranan dalam membantu rakan-rakan dan pengurusan PRUPEL yang dijangkiti Covid-19 dalam pengurusan kebajikan termasuk bantuan makanan, keperluan bilik kuarantin dan sebagainya.

Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin dalam ucapannya berkata, bagi memenuhi tuntutan dunia masa kini, penglibatan pelajar dalam program-program kolej secara tidak langsung mampu menjadi satu inisiatif kepada mahasiswa dalam mempelajari pelbagai kemahiran seperti menguruskan protokol majlis, multimedia, pengacaraan majlis dan banyak lagi.

“Dengan ini, saya menyeru agar pelajar di kolej dapat terlibat secara aktif dalam program – program anjuran universiti serta kolej sekaligus seimbang dalam akademik dan sahsiah. Kolej kediaman bukanlah tempat tidur semata-mata, tetapi peranannya lebih daripada itu dalam membantu mahasiswa menjadi pelajar yang proaktif dan serba boleh di samping kolej kediaman juga boleh berperanan sebagai kampus kedua pelajar”, ujarnya.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan