NILAI, 1 SEPTEMBER 2015 – Tempoh kursus dan latihan yang panjang selama 6 semester bersama Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), akhirnya memberi kejayaan buat 70 orang pelajar PALAPES Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila berjaya bergelar Leftenen Muda.

Terdiri daripada 41 orang lelaki dan 29 orang perempuan, mereka ditauliahkan sempena Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam ke-34 pada 15 Ogos lalu di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sultan Selangor DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, berkenan mencemar duli ke majlis ini dan menyampaikan watikah bertempat di Dewan Besar Pusat Kebudayaan & Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS).

PALAPES USIM yang bergerak secara rasmi menggunakan platform pasukan PALAPES UKM buat masa ini, telah berjaya melahirkan empat kumpulan Pegawai Muda PALAPES sejak pengambilan kumpulan pegawai kadet pertama diadakan pada 2009.

Sempena kejayaan pentauliahan bersama PALAPES UKM, mereka diraikan di Majlis Santapan Malam Regimental  bersama DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang merupakan Canselor UKM  dan DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud selaku Canselor USIM baru-baru ini.

Bertempat di The Royale Bintang Resort & Spa, Seremban Negeri Sembilan, kesemua Leftenan Muda PALAPES UKM USIM turut menerima Anugerah Kesatria Jaya. Selain itu, dua orang Pegawai Kadet USIM iaitu Lt M Muhammad Siddiq Bin Rohizan dan Lt M Muhammad Qusyairi Bin Muda masing-masing menerima Anugerah Pegawai Muda Terbaik dan Anugerah Khas Komandan Pegawai Muda Terbaik daripada DYMM Tuanku Muhriz.

Bagi Lt M Muhammad Siddiq Bin Rohizan, 26, pelajar tahun 3 Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa, Fakulti Syariah dan Undang-Undang menyifatkan ini adalah pencapaian yang tidak disangka-sangka oleh beliau apabila menyertai PALAPES ini.

“Penyertaan di dalam pasukan PALAPES telah berjaya membentuk disiplin diri dan nilai kepimpinan, tanggungjawab dan kerja berpasukan yang tinggi. Alhamdulillah, pengurusan masa sebagai seorang pelajar dan pegawai kadet dapat diseimbangkan dengan baik” ucapnya.

“Alhamdulillah, berkat doa ayah dan ibu serta sokongan dan bantuan daripada jurulatih-jurulatih, saya dapat melaksanakan tugas dan arahan yang diberi dengan baik sehingga membolehkan saya untuk menerima anugerah ini” ulas Lt M Muhammad Qusyairi Bin Muda, 23, yang juga rakan sekelas Muhammad Siddiq.

Turut meraikan mereka pada majlis ini adalah Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan Menteri Besar Negeri Sembilan; Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Profesor Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali, Naib Canselor UKM dan Profesor Dato Dr Musa Ahmad Naib Canselor USIM.

Disediakan oleh:

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204