Bandar Baru Nilai, 9 Ogos 2010 – Lebih 7,000 termasuk tetamu kehormat, pelajar, pensyarah, kakitangan USIM dan masyarakat setempat hadir menenuhi Stadium Tertutup Nilai untuk mendengar Syarahan Perdana Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berlangsung hari ini.

Suasana dewan yang penuh sesak dengan penonton terutamanya mahasiswa-mahasiswi yang sejak awal jam 8.30 pagi lagi sudah membanjiri Stadium Tertutup Nilai untuk bertemu dan bersalam dengan Tokoh Negarawan ini. Tun Mahathir dengan penuh mesra bersalaman dan melambai-lambai tangan kepada pelajar yang berada di bahagian atas tempat duduk sambil disambut oleh ribuan pelajar USIM.

8 tahun yang lalu, Tun Dr. Mahathir hadir ke Kampus Tetap USIM di Bandar Baru Nilai ketika majlis pecah tanah pada 20 Ogos 2002 dan ketika itu kawasan ini adalah sebuah pekan kecil. Namun kedatangan Tun Dr. Mahathir kali ini berbeza melihat USIM berdiri segak di  Kampus Tetap USIM yang sudah berubah wajah sebagai bandar ilmu berdekatan lingkaran koridor raya multimedia.

Pidato selama 1 jam 15 minit yang disampaikan oleh Tun Dr. Mahathir di atas tajuk “Institusi Pengajian Tinggi Berteraskan Ilmu Islam : Antara Realiti dan Cabaran Masa Depan” menggambarkan bahawa idea dan buah fikiran Tun tidak dimamah usia.

Tun Dr Mahathir memulakan syarahan beliau dengan mengungkapkan definisi Ilmu Islam berdasarkan ayat pertama turunnya Al-Quran kepada Nabi Muhammad S.A.W iaitu kalimah Iqra’. Sejarah Islam dibedah oleh Tun dengan menceritakan kehebatan tamadun Islam telah menggunakan ilmu untuk menguasai dunia seterusnya mencetuskan tamadun unggul hingga terbinanya Baitul Hikmah.

Tun menyatakan bahawa “Ilmu Islam bukan hanya terhad kepada ilmu akar Islam iaitu Syariah, Usuluddin namun lebih daripada itu iaitu termasuk ilmu sains, perubatan, pertahanan, undang-undang dan sebagainya. Ilmu-ilmu ini harus dikuasai oleh umat Islam dalam menjaga keselamatan dan kesihatan umat Islam seluruh dunia.”

Katanya lagi, “ Umat Islam tidak boleh ketinggalan dalam menguasai ilmu teknologi semasa kerana apabila kita ketinggalan maka umat Islam akan tertindas. Tuntutan menguasai ilmu ini menjadi satu tuntutan fardhu kifayah dan dikira sebagai ibadah di sisi Allah S.W.T”.

Syarahan Tun Dr Mahathir Mohamad yang julung-julung kalinya diadakan di USIM bersempena dengan Sambutan 10 Tahun USIM. Tidak ketinggalan dalam syarahan ini yang turut hadir ialah Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Y.Bhg Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman, Naib Canselor Y.Bhg Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, Ahli Lembaga Pengarah USIM dan tetamu kehormat USIM.

Naib Canselor USIM ketika mengulas tentang syarahan perdana ini menyifatkan syarahan ini cukup bermakna bagi USIM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi Islam yang bergerak melahirkan teknokrat Islam abad ini.

“USIM berbesar hati menyambut kedatangan Tun dan menyampaikan syarahan perdana Sempena Sambutan 10 Tahun USIM.  Segala apa yang diperkatakan oleh Tun akan dihalusi dan dihayati dalam membina USIM sebagai institusi pengajian Islam tersohor”, katanya.

Oleh :
Mohd Hariri Hj Mohamad Daud
Penolong Pendaftar
Unit Komunikasi Korporat
hariri@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8027/8028