NILAI, 10 Mei 2020 – Seramai 748 orang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah selamat dihantar pulang ke pangkuan ahli keluarga masing-masing melalui program Ops Hantar Pulang Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sehingga Jumaat, 8 Mei. Penghantaran pulang pelajar USIM ini telah dibuat secara berperingkat bermula 27 April yang lalu mengikut zon penghantaran yang telah ditetapkan oleh KPT.

Dalam menggerakkan misi Ops Pulang ini, Kampus Induk USIM di Nilai, Negeri Sembilan dan kampus cawangan di Pandan Indah menjadi lokasi Pusat Pelepasan (Departure Centre) bagi para pelajar USIM dan pelajar Insitusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berdekatan dengan kedua-dua kampus ini.

Dari keseluruhan 748 yang balik melalui Ops Hantar Pulang ini, seramai 24 dihantar ke Zon Utara (Perlis, Kedah, Pulang Pinang); 73 pelajar ke Zon Selatan (Johor, Melaka, Negeri Sembilan); 90 pelajar ke Zon Tengah 1 (Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya); 104 ke Zon Tengah 2 (Perak); 58 pelajar diterbangkan ke Sarawak (Kuching,Bintulu); dan kumpulan terbesar adalah 399 pelajar di hantar ke Zon Timur (Pahang, Kelantan, Terengganu).

Tidak hanya menguruskan penghantaran para pelajarnya, USIM turut sama menguruskan proses penghantaran pulang seramai 277 pelajar IPT lain dengan masing-masing bertolak dari kampus USIM di Nilai atau Pandan Indah.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani, berperanan selaku Pusat Pelepasan ia memberi tanggungjawab besar kepada USIM untuk memastikan segala Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat yang ditetapkan oleh KPT, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membawa pelajar pulang dipatuhi.

“Selain memastikan SOP ketat ini kita patuhi, kita juga memberi perhatian dalam soal kebajikan para pelajar yang terlibat dalam Ops Pulang ini dijaga dengan sebaiknya. Misalnya dalam soal makan dan minum, kita bekalkan juadah berbuka puasa, goodies untuk dimakan semasa dalam perjalanan pulang seperti makanan ringan, biskut, roti dan air minuman serta juadah bersahur kepada semua pelajar USIM dan pelajar IPT lain yang bertolak dari kampus kita”.

“Reaksi yang kita terima dari pelajar yang terlibat, mereka amat menghargai dan berterima kasih kepada pasukan petugas kita yang mesra dan sangat membantu dalam menguruskan penghantaran mereka disamping gembira kerana dibekalkan juga dengan pelbagai ‘buah tangan’ dari USIM untuk di bawa pulang”.

Tambahnya lagi, pengurusan krisis besar seperti Ops Pulang ini dilihat sebagai satu pengalaman baharu kepada Pengurusan Universiti, kakitangan, pelajar dan agensi yang terlibat. Ia membawa kepada skop kerja norma baharu dan real on the ground experience yang amat bermakna kepada para petugas yang terlibat. Beberapa fasa penghantaran pelajar masih dalam perancangan untuk diaturkan selepas ini.

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan