NILAI, 15 Oktober 2021 – Seramai lebih kurang 800 pelajar baharu sesi akademik 2021/2022 dan juga pelajar semasa (berkeperluan khas) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mendaftar masuk secara fizikal ke Kolej Kediaman USIM secara berperingkat bermula hari ini. Kemasukan fasa pertama ini dilaksanakan dengan mematuhi prosedur opersi standard (SOP) yang telah ditetapkan dimana ujian calitan saringan covid-19 dilakukan sebelum dibenarkan memasuki kolej kediaman masing-masing.
Naib Canselor USIM, Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani melakukan tinjauan ke Dewan Tuanku Canselor bagi melihat proses pendaftaran ini berlangsung.
Menurut Dato Ridza, sebanyak lima (5) fasa kemasukan pelajar secara berperingkat akan dijalankan sehingga 5 Disember depan. Kemasukan pelajar berkeperluan khas ini adalah mengambil kira pelajar yang memerlukan penggunaan makmal untuk melakukan latihan amali terutamanya dalam bidang kejuruteraan, perubatan dan seni bina.
Sementara itu, pasangan suami isteri Shairul Azman Bahari dan Norazihan Adnan turut membawa sebuah motosikal Jenis Yamaha 150 menaiki Hilux bagi memudahkan pergerakan anaknya semasa pengajian di kampus. Mereka bergerak dari Pontian Johor seawal pagi sebelum tiba pada jam 10 pagi bagi mendaftar masuk Muhammad Firdaus Azman,21, yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Quran dan Sunnah.
Motosikal ini adalah hasil ‘titik peluh’ Muhammad Firdaus yang menjalankan kelas mengaji sejak tiga tahun lalu ketika belajar Diploma di Kolej Pengajian Islam (Marsah) Johor Bahru.
“Saya memang minat motor Yamaha ini, dan saya tekad untuk kumpul duit sendiri untuk membeli motor ini yang berharga RM9,800”, ujar Firdaus.
Beliau yang bercita-cita untuk menjadi seorang guru agama atau pendakwah menzahirkan rasa gembira apabila USIM merupakan pilihan pertamanya untuk melanjutkan pengajian Ijazah diterima.
Firdaus yang merupakan anak ketiga dari enam adik beradik ini turut berhasrat untuk terus mengadakan kelas pengajian Quran secara dalam talian, sambil belajar di USIM.
Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembila