Nilai, 25 Mei 2017 – Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima seramai 898 pelajar baharu pra-universiti, Tamhidi atau Matrikulasi/ Asasi bagi sesi akademik 2017/2018 setakat yang mendaftar semalam di Dewan Tuanku Canselor USIM dan ia dijangka akan meningkat pada pendaftaran pelajar sesi rayuan yang dijangka bakal mendaftar pada 16 Jun nanti.

USIM menerima sebanyak 15, 591 permohonan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 1,873 permohonan memilih USIM sebagai pilihan pertama.

Pusat Tamhidi USIM yang menawarkan lima program pengajian merekodkan Program Tamhidi Sains dan Teknologi menerima pendaftaran pelajar paling tinggi iaitu seramai 333 pelajar diikuti Tamhidi Perakaunan dan Muamalat seramai 201 pelajar, Tamhidi Syariah dan Undang-undang seramai 152 pelajar, Tamhidi Perubatan seramai 201 pelajar dan Tamhidi Pergigian seramai 85 pelajar.

Seramai 274 pelajar lelaki dan 624 pelajar perempuan yang mendaftar tahun ini adalah mewakili pecahan mengikut negeri yang mana Selangor mencatat angka pelajar mendaftar paling tinggi iaitu seramai 197 pelajar diikuti Kelantan seramai 122 pelajar seterusnya Terengganu seramai 118 pelajar. Tambahan, tahun ini juga USIM turut menerima seorang pelajar lelaki dari Thailand.

“Alhamdulillah, proses pendaftaran berjalan lancar dalam keadaan kondusif dan efisien oleh urusetia dan pengurusan. Hampir 80% pelajar yang telah ditawarkan tempat telah mendaftar. Pada kali ini proses mendaftar tidak mengalami masalah dan semua pelajar hanya mengambil masa 15 minit dan urusan ibubapa dan penjaga pelajar dapat dipercepat dengan terus menghantar anak-anak ke asrama pula dan bergerak pulang ,” ujar Prof Madya Dr Asmaddy Haris , Pengarah Pusat Tamhidi USIM.

Menurut pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 11A dari Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Aiman Hasni Zazani, 18, yang berasal dari Lenggeng, Negeri Sembilan, USIM menjadi pilihan kerana beliau telah maklum akan suasana pembelajaran dan pengajaran di USIM yang berasaskan islamik dan syariat Islam serta kagum dengan kehebatan pencapaian pelajar USIM yang disampaikan oleh senior-senior yang kini menuntut di USIM. Anak kepada pasangan Zazani Naim dan Hasnah Md Isa yang merupakan guru disiplin dan Guru Besar turut bercita-cita menjadi doktor yang berkualiti dan patuh dengan syariat Islam memilih Program Tamhidi Perubatan sebagai pilihan pertama.

 

Bagi sahabat karib dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Selangor, Ruhi Humaira Abd Malek dan Nur Haiza Solehah Jailani masing-masing memilih USIM sebagai pilihan pertama dan mendapat tawaran program dalam bidang yang sama iaitu Tamhidi Sains dan Teknologi. Ruhi Humaira anak sulung dari tiga beradik meminati bidang pergigian mengimpikan untuk menjadi seorang doktor gigi dan berharap dapat menjadi idola dan harapan kepada adik-adiknya untuk belajar bersungguh-sungguh dan berjaya dalam bidang yang diminati.

 

Manakala bagi Nur Haiza Solehah yang meminati bidang Sains menyimpan harapan yang tinggi untuk berjaya dan mendapat kerja yang bagus bagi membantu keluarga apabila menamatkan pengajian kelak. Anak kedua bongsu dari lima beradik ini turut berkongsi cerita bahawa beliau tertarik dengan USIM melalui pengalaman yang dikongsikan oleh senior mereka yang telah melanjutkan pelajaran di USIM dalam bidang yang sama.

 

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204