BANGI, 20 Ogos 2019–Penterjemahan merupakan wahana komunikasi ilmu yang utama bagi membangunkan negara, bangsa, dan agama bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia, lebih-lebih lagi dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan. Menyedari hakikat ini, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) USIM sebagai tuan rumah kali ini, dengan kerjasama Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) mengambil inisiatif menganjurkan Persidangan Penterjemahan Antarabangsa 2019 (PPA-17) bertemakan ”Penterjemahan Dalam EraDigital” yang berlangsung selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Ogos 2019 bertempat di Hotel Bangi Resort.

Pada tahun ini persidangan menghimpunkan seramai 96 peserta termasuk 52 pembentang seluruh dunia dalam kalangan para ilmuan dan ahli bahasa dan seangkatannya antaranya dari Brunei, Indonesia, Australia, Vietnam, Nigeria dan Taiwan. Ia merupakan persidangan dwitahunan yang mula dianjurkan sejak 1984 akan menjadi platform kepada para peserta bagi merealisasi percambahan dan perkongsian ilmu serta dapat memanfaatkan isi-isi pembentangan kertas kerja dalam profesion masing-masing.

Selain itu, persidangan ini mengupas dan memberi pencerahan terhadap isu dan permasalahan asas pelaksanaan penterjemahan yang sedia ada di samping mengaitkannya dengan situasi terkini, membuka ruang kepada penemuan baru dan pendekatan alternatif dari aspek teori dan aplikasi penterjemahan dan interpretasi serta menggalakkan pertukaran pendapat dan pengalaman dalam bidang latihan penterjemahan.

YB Dato Saifudin Abdullah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dalam ucapan perasmiannya menyatakan penganjuran persidangan antarabangsa merupakan salah satu wadah untuk meletakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang mengangkat industri penterjemahan dalam rantau ASEAN. Hasrat ini juga mampu menjadi jambatan terhadap Bidang Keberhasilan Utama DBP, iaitu Pengantarabangsaan Bahasa dan Persuratan Melayu.

Tambah beliau terdapat pelbagai teknologi terbaru dalam bidang penterjemahan seperti Genius Device, Vasco Mini Translator, Interpretation Ear Piece dan sebagainya yang mampu membantu kita berkomunikasi dalam lebih daripada 40 bahasa. Google translate dan pelbagai perisian penterjemahan yang lain juga kini semakin canggih dengan perkembangan dan kemajuan teknologi sejagat.

”Kita mengharapkan persidangan ini dapat memupuk kesedaran terhadap peri pentingnya penterjemahan dalam usaha pemindahan ilmu dan budaya. Sesungguhnya inisiatif pelaksanaan memerlukan bantuan dana yang berterusan daripada sektor kerajaan dan swasta bagi menyokong aktiviti-aktiviti penterjemahan peringkat tempatan dan antarabangsa khususnya program sinergi antara USIM dan penerbit tempatan serta antarabangsa, seperti bait pepatah lama ada menyebut ”bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”, ujar Prof Dato Dr Roshada Hashim Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang mewakili Naib Canselor USIM.

Antara pengucaptama adalah Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak dengan tajuk pembentangan Translation as Change Agent; Prof. Anthony Pym bertajuk How Neural Machine Translation Might Change the Work of Translators; Prof. Madya Dr Akmal Khuzairy Abd Rahman dengan tajuk pembentangan Konflik di antara Bahasa Inggeris dan Arab sebagai sumber terjemahan pinjaman kepada Bahasa Melayu: Isu dan Sorotan; dan Prof. Dr Majdi Hj Ibrahim dengan tajuk Bagaimana Menterjemah Teks Iklan daripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Arab.

Pada malam itu majlis turut melancarkan 6 buah buku antaranya terbitan Penerbit USIM & ITBM, DBP dan PTS Publishing House.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan