NILAI, 13 November 2017 – Mengambil inisiatif dan menzahirkan kepekaan dalam memerangi dadah dalam negara, Konvensyen Perangi Dadah Kebangsaan 2017 kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan bersama Kementerian Dalam Negeri berjaya dilaksana di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai platform kepada pelbagai agensi untuk membentang dan menyebarluas hasil kajian berkaitan dadah, terutamanya dalam kajian penyelidikan.
Penganjuran konvensyen berlangsung selama dua hari ini menjadi medan perkongsian idea dan perbincangan intelektual berkenaan isu membanteras dadah disamping memantapkan jalinan kerjasama antara ahli akademik, kumpulan penyelidik, pemimpin komuniti serta agensi kerajaan dalam bidang dadah.
Naib Canselor USIM, Prof Dato Dr Musa Ahmad dalam ucapannya menyatakan statistik menunjukkan penyalahgunaan dadah oleh rakyat Malaysia semakin meningkat dan membimbangkan. Dari segi umur, pengambilan dadah merekodkan kanak-kanak berumur 9 tahun pun sudah mula terjebak dengan masalah ini. Oleh kerana itulah, konvensyen pada kali ini dilaksanakan bertemakan “Pembanterasan Dadah Secara Holistik Berasaskan Pembuktian” dimana kajian berasaskan evidence base ini sangat penting untuk kita ketahui dan mengambil tindakan selanjutnya untuk kita perbaiki dan melakukan penambahbaikan sama ada dari segi dasar, pelaksanaan dan sebagainya.
“Data-data dan dapatan daripada kajian berasaskan evidence base ini juga sebenarnya membantu pihak berkaitan seperti AADK, Kementerian Dalam Negeri, UA, US dan NGO merangka strategi yang tepat dalam jangka masa pendek dan panjang untuk bersama-sama berusaha mengurangkan penyalahgunaan dadah di Malaysia”, tambahnya lagi.
Turut diadakan Seminar Masyarakat Pemangkin Kepulihan yang disertai oleh ahli sukarelawan AADK dalam bidang rawatan dan pemulihan dadah yang mewakili Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD),AJK Caring Community House (CCH) DAN Ahli Lembaga Pelawat Pusat Penagihan Narkotik (ALP) seluruh Malaysia.
Majlis perasmian dirasmikan oleh YB Datuk Nur Jazlan Mohamed Timbalan Menteri Dalam Negeri. Hadir sama Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia YB Dato Dr Abd Halim Mohd Hussin.