PUTRAJAYA 28 Nov. – Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) merangkap pengarah di Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Hj. Husin, 69, dipilih sebagai tokoh Maal Hijrah 1433H/2011M.

Abdul Shukor yang juga merupakan mantan Naib Canselor USIM berkata, pada mulanya, beliau tidak menyangka akan dipilih kerana menganggap khidmat yang disumbangkan kepada negara tidak begitu besar jika dibandingkan dengan pemimpin sedia ada.

“Walaupun begitu, saya rasa bersyukur dan berterima kasih di atas pengiktirafan ini. Secara tidak langsung menjadi perangsang kepada saya, dan saya akan terus berkhidmat mengikut kemampuan.

“Saya berpegang kepada konsep yang dikatakan oleh Nabi Muhammad SAW, sebaik-baik manusia itu adalah orang yang memberi manfaat kepada manusia lain sebanyak-banyaknya,” katanya yang berasal dari Kampung Tebing Tinggi, Jerantut, Pahang itu.

Abdul Shukor diminta mengulas mengenai pengiktirafan tersebut ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar Majlis Sambutan Maal Hijrah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Selaku penerima anugerah, Abdul Shukor membawa pulang hadiah wang tunai RM110,000 iaitu RM100,000 sumbangan kerajaan dan RM10,000 lagi diberikan oleh Yayasan Ubaidi, pingat Tokoh Maal Hijrah, cenderahati serta sijil penghargaan bertulisan khat.

Majlis penyampaian anugerah dan hadiah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Seri Norainee Abdul Rahman.

Sumber: Utusan Malaysia