NILAI, 29 APRIL 2015 – Isu penyalahgunaan dadah semakin meruncing apabila ia mampu menjejaskan bukan sahaja pembangunan masyarakat malah ekonomi negara. Pusat Kecemerlangan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) iaitu Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) bersama pelajar Program Fleksi Diploma Siswazah Dalam Penyalahgunaan Dadah (SPADA) dengan kerjasama pelajar Sarjana Kaunseling mengambil inisiatif untuk menganjurkan ‘Program Kampus Bebas Dadah USIM 2015’ yang mengetengahkan isu berkaitan cara pendidikan dan pencegahan penyalahgunaan dadah di peringkat warga USIM khususnya bertempat di Pusat Keusahawanan Pelajar.

Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani, Pengarah ACREDA, ia merupakan titik tolak kepada usaha ACREDA bagi memantapkan lagi kesedaran semua pihak tentang ancaman dan bahaya dadah. Selain mengorak langkah dalam pendidikan dan pencegahan dalam penyalahgunaan dadah, USIM turut berhasrat untuk menjadi sebuah pusat rujukan dalam aspek-aspek berkaitan penyalahgunaan dadah melalui aktiviti penyelidikan, penerbitan, latihan dan perkhidmatan.

“USIM dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan telah mengambil inisiatif dan langkah proaktif dengan mensasarkan program kerjasama Siri Kursus Asas Kaunseling dan Pengurusan Klien kepada pegawai AADK. Kursus ini akan diuruskan oleh pihak ACREDA untuk mempertingkat kompetensi serta keyakinan kerja para pegawai AADK dan melahirkan warga yang dapat memberi impak yang bermakna kepada bidang pengurusan, pendidikan, pencegahan, rawatan dan pemulihan dalam menangani masalah dadah di negara ini”, ujar Prof. Rushdan lagi.

Program ini adalah sempena dengan Hari Antidadah Peringkat Kebangsaan yang telah jatuh pada 19 Februari setiap tahun. Turut diadakan ceramah dari pihak Persatuan Pengasih Malaysia dan Imam Muda Amar, pameran oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta persembahan khas oleh Unit Anjing Pengesan (K9), PDRM.

Program seperti ini juga merupakan salah satu aktiviti pihak ACREDA untuk memberikan sumbangan dalam bentuk pendidikan kepada warga USIM. Program ini merupakan landasan kepada hasil usaha pihak ACREDA untuk menyalurkan maklumat dan pendekatan dalam isu nombor satu negara iaitu penyalahgunaan dadah.

Majlis perasmian telah disempurnakan  oleh Tuan Azizan Ariffin, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Turut hadir Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Abd Halim Mohd Hussin, Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204