NILAI – Melonjakkan bidang penyelidikan oleh para pensyarah USIM menjadi agenda utama dalam perancangan bajet USIM untuk tahun 2013 ini. Bersesuaian dengan imej Universiti sendiri yang membawa elemen Sains dan Islam, justeru pengagihan bajet kali ini amat tepat untuk mendokong penubuhan Universiti ini untuk kekal relevan dan terkehadapan.

Menurut Naib Canselor USIM, Prof. Dr. Asma Ismail, dalam misi untuk melonjakkan penyelidikkan, pihak universiti telah mewujudkan pelbagai peruntukan istimewa untuk direbut oleh para pensyarah antaranya; RM 2 juta telah diperuntukkan membuat penyelidikan, RM600,000 untuk Tabung Persidangan bagi menghadiri persidangan dalam dan luar negara, RM200,000 untuk bayaran insentif jurnal berimpak dan RM300,000 kepada pelajar Sarjana dan PhD USIM untuk menyertai persidangan dalam dan luar negara.

“Kekangan peruntukan yang disalurkan oleh Agensi Pusat kepada USIM pada tahun ini tidak seharusnya dijadikan penghalang untuk Universiti melonjakkan kecemerlangan terutamanya dalam bidang penyelidikan. Justeru, Pengurusan Universiti akan mewujudkan mekanisme terbaik untuk melonjakkan bidang ini sepanjang tahun 2013” kata Prof. Asma. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Taklimat Agihan Bajet 2013 baru-baru ini.

“Bagi mewujudkan suasana yang kondusif untuk para kakitangan akademik, pendekatan serampang dua mata akan digunakan melalui peruntukan khusus bagi pembelian set komputer atau notebook beserta mesin pencetak untuk setiap pensyarah”

“Pemberian ini adalah sebagai alat bantu (tools) untuk para pensyarah menjalankan penyelidikan dalam suasana yang lebih baik dan lebih pantas selain dapat digunakan dalam penyampian Pembelajaran dan Pengajaran (P&P). Para tutor juga tidak ketinggalan menerima kemudahan ini pada peringkat/fasa yang berikutnya” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, bandwith sedia ada yang berkapasiti 36 mbps akan dipertingkatkan kepada 100 mbps menjelang April 2013 melalui peruntukan besar kepada Pusat Teknologi Maklumat. Peningkatan ini pastinya akan memudahkan akses dan capaian kepada internet dengan lebih pantas sama ada dari dalam atau di luar kampus oleh kakitangan akademik dan para pelajar. Pada masa yang sama akan melancarkan lagi program pembelajaran secara atas talian yang ditawarkan oleh Pusat Pembelajaran Akses Terbuka GLOBAL (GOALS Centre).

Di akhir taklimat, YBhg. Prof. Dr. Asma Ismail menekankan ”Cabaran mengurus kewangan yang semakin mencabar perlu didepani oleh warga USIM, sehubungan itu setiap Jabatan di USIM perlu mengamalkan perbelanjaan berhemah dan terkawal selain dikehendaki melaksanakan aktiviti penjanaan pendapatan mengikut bidang tujahan masing-masing”.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa