MOSCOW – Dua ahli akademik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah dijemput oleh Kementerian Pertahanan Rusia sebagai pembentang ucaptama di Persidangan Keselamatan Moscow yang berlangsung pada 13 Ogos 2024 baru-baru ini.
Mereka ialah Profesor Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang dan Profesor Dr. Rafidah Hanim Mokhtar dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan).
Selain menjadi pembentang jemputan, Dr. Mohd Hazmi dan Prof. Rafidah turut diiktiraf sebagai ‘Sarjana Pelawat’ di ASEAN Centre, Moscow State Institute of International Relations (MGIMO), dan ‘Sarjana Pelawat’ di Institute of China and Contemporary Asia, Russian Academy of Sciences (ICCA-RAS), kedua-duanya institusi berprestij yang terletak di pusat bandar Moscow.
Profesor Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli berkata, jemputan sebagai pembentang ucaptama ini adalah peluang yang diberikan susulan kunjungan Kedutaan Rusia ke USIM Jun 2024 lepas.
Ujarnya lagi, kerajaan Rusia turut menaja sebahagian daripada lawatan beliau dan Prof. Rafidah ke persidangan tersebut. Lebih menarik, hampir kesemua ahli akademik Rusia yang ditemui di MGIMO dan ICCA-RAS mampu berbahasa Melayu dengan baik.mampu berbahasa Melayu dengan baik.
“Peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengembangkan pengaruh USIM dan memperkukuh hubungan akademik dengan Rusia, negara terbesar di dunia. Antara perkara yang dibincangkan termasuk peluang kerjasama penyelidikan, penerbitan, dan program pertukaran pelajar yang berfokuskan kepada topik seperti undang-undang maritim antarabangsa, dasar maritim, undang-undang hak asasi manusia, serta isu-isu berkaitan ASEAN dan Rusia”, Dr. Hazmi berkata lagi.
Sementara itu, Profesor Dr. Rafidah Hanim Mokhtar turut berkongsi perasaan gembira dan teruja dengan jemputan ini.
“Saya merasa amat gembira dengan peluang untuk berinteraksi dengan pihak akademik Rusia bertukar-tukar pandangan tentang nilai kekeluargaan melibatkan isu orientasi seksual dan identiti gender.
“Di samping menyampaikan kepada mereka polemik isu kesihatan terkait homoseksual, saya juga mengetahui dengan lebih mendalam bagaimana Rusia memperkukuhkan nilai kekeluargaan melalui polisi menolak ideologi gender berleluasa di sekolah dan melalui pemantauan NGO”, ujarnya lagi.
MGIMO merupakan universiti terbaik di Rusia yang memberi tumpuan kepada hubungan antarabangsa, manakala RAS, yang ditubuhkan tepat 300 tahun lalu pada tahun 1724, adalah salah satu institusi penyelidikan terbaik di negara tersebut.
Pelantikan Dr. Hazmi dan Prof. Dr. Rafidah sebagai sarjana pelawat di dua institusi terkemuka Rusia ini adalah satu pengiktirafan bahawa USIM merupakan sebuah universiti Islam yang dihormati dan progresif.
ILU, sebuah unit di bawah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, telah memainkan peranan utama dalam menghubungkan pelbagai disiplin ilmu di USIM dalam konteks undang-undang antarabangsa dan hubungan antara negara. Sebagai contoh, Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar telah memanfaatkan peluang untuk meneroka isu perubatan dan kekeluargaan dalam konvensyen antarabangsa yang menarik minat bersama antara akademik dan sektor pertahanan di Rusia.