NILAI, 20 Mei – Menjadi antara majlis utama diperingkat Universiti yang dinantikan oleh para pelajar setiap tahun sejak mula dianjurkan bermula 2008, Anugerah Kecemerlangan Siswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) atau singkatannya AKSIS merupakan kemuncak pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian pelajar dalam pelbagai aktiviti dan program Universiti.

Sepanjang tahun 2012, pelbagai pencapaian telah diperolehi pelajar dan bertepatan dengan hasrat USIM yang bertekad melahirkan graduan holistik dan berdaya gaji tinggi, AKSIS adalah simbolik penghargaan Universiti kepada pelajar yang telah berupaya memperkasakan diri mereka dengan pelbagai kemahiran insaniah sekaligus mempersiapkan diri menghadapi cabaran alam kerjaya.

“Ini merupakan AKSIS pertama bagi saya, dan semestinya saya amat teruja untuk melihat para pemenang dan persembahan daripada pelajar. Kelebihan pelajar USIM adalah kemampuan mereka menguasai pelbagai cabang ilmu moden yang dimurnikan dengan nilai-nilai Keislaman dengan baik dan seimbang”.

“Pastinya dihadapan saya ini, adalah bakal-bakal pemimpin Islam yang unggul kepada agama, bangsa dan negara” kata YBhg. Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail dalam ucapan aluannya di majlis ini. Majlis ini telah dirasmikan oleh Puan Hilyati Muhammad Nassir, Timbalan Pengarah Pembangunan Perniagaan SME Corporation Malaysia mewakili YBhg. Dato’ Hafsah Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia.

Sebanyak 14 buah kategori dipertandingkan antaranya kecemerlangan kepimpinan, pencapaian, sukan, sukarelawan, seni dan keusahawanan. Tiga anugerah utama yang menjadi rebutan telah memberi kegembiraan berganda kepada pelajar Urus Setia Keseniaan Pelajar apabila menggondol dua daripadanya iaitu Anugerah Perdana Emas dan Anugerah Perdana Siswa melalui Mohd Nurhakimi Md Yaman. Manakala  Perdana Siswi milik Fatimah Azzahra’ Harolizam.

Sebelum itu, Mohd Nurhakimi dan Fatimah Azzahra’, masing-masing turut menerima Anugerah Cemerlang Seni Individu dan Anugerah Jasa Bakti Pembangunan Insan.

Antara pemenang lain adalah Syarikat Annajihin Enterprise mengungguli kategori Cemerlang Usahawan, Norhaliza Muaidi (Cemerlang Sukan Individu), Nor Syamimi Hashim (Jasa Bakti Sukarelawan), Muhammad Hafiz Zulkhairi (Cemerlang Kepimpinan Pengurusan) dan Muhammad Firdaus Zul Kafli (Cemerlang Kepimpinan Pencapaian).

Berlangsung dalam suasana penuh gilang gemilang di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, AKSIS turut menghiburkan para penonton yang hadir dengan persembahan para pelajar seperti dikir barat, muzik moden, tarian tradisional dan nasyid kontemporari.

Disediakan oleh ;
Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar StraComm