NILAI –Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa 2022/2023 (AKSIS 22/23) bertempat di Dewan Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM pada 23 Januari 2024 baru-baru ini. Penganjuran program kali ke-12 ini merupakan acara yang paling ditunggu-tunggu oleh pelajar setelah program ini ditangguhkan selama tiga (3) tahun akibat daripada penularan wabak COVID-19 pada tahun 2020.

Penganjuran kali ini menyaksikan 19 anugerah dipertandingkan berdasarkan kriteria yang dijajarkan kepada kriteria pemilihan Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan (ATS) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Penerima anugerah pada penganjuran kali ini akan secara automatik dicalonkan mewakili USIM ke pemilihan Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, dalam ucapan perasmiannya memaklumkan bahawa, penganjuran majlis seperti ini amatlah baik kerana selain memberi pengiktirafan kepada pelajar yang cemerlang dalam aktiviti kemahasiswaan, ia turut berperanan menyuntik semangat dan memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk meningkatkan pencapaian masing-masing.  

“Pelajar seperti inilah yang selayaknya dijadikan contoh kerana mereka bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut menggunakan peluang semasa berada di menara gading untuk meningkatkan kemahiran insaniah melalui penyertaan dalam pelbagai aktiviti kemahasiswaan. Hal ini amat bertepatan dengan hasrat YB Menteri Pendidikan Tinggi dalam landasan ke-3 di dalam Amanat Tahun Baharu 2024 beliau iaitu kemenjadian Mahasiswa dan pelajar” ujarnya lagi.

Anugerah utama iaitu Anugerah Tokoh AKSIS telah dimenangi oleh Shamsul Aiman Mua’mar Shamsul Bahrin, Mantan Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Sesi Akademik 2022/2023 USIM. Anak kelahiran Terengganu ini merupakan pelajar Tahun 4 Sarjana Muda Bahasa Arab Dan Kesusasteraan Islam dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Bahasa Utama USIM. Beliau juga turut merangkul Anugerah Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar berdasarkan kepada penglibatan aktif beliau dalam persatuan dan program pembangunan sahsiah. Beliau juga merupakan ahli Majlis Eksekutif Pembangunan Mahasiswa, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).

Turut disampaikan juga Anugerah Sumbangsih (Individu) kepada Yang Berbahagia Dato’ Jamaludin Haji Elias atau lebih dikenali sebagai Dato’ Nash. Beliau telah menyumbang pelbagai sumbangan dan idea dalam bidang seni di USIM melalui pelantikan beliau sebagai Karyawan Seni USIM mulai tahun 2016. Beliau juga bergiat aktif dengan menyertai program-program anjuran USIM dan sering dilantik sebagai panel dan juri jemputan program.

Anugerah Sumbangsih (Organisasi) pula telah dianugerahkan kepada Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM. Pusat ini memainkan peranan penting dalam mendokong kelancaran penganjuran aktiviti pelajar di USIM melalui sumbangan kebajikan, penajaan badan korporat dan pendanaan fasiliti bagi program atau aktiviti pembangunan pelajar. Sumbangan berterusan PWZ ini akan meningkatkan motivasi dan semangat supaya lebih ramai pelajar terlibat dalam program pembangunan sahsiah.

Penganjuran Majlis AKSIS 22/23 ini memperlihat keprihatinan USIM terhadap sumbangan pelajar yang aktif dan berbakat dalam program pembangunan sahsiah serta menyediakan pelajar untuk menghadapi cabaran dan realiti kehidupan dunia sebenar.